GEORGE TOWN, 9 Jun (Bernama) -- Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) mendedahkan rokok elektronik atau vape kini semakin kerap disalahgunakan sebagai medium pengambilan dadah dan bahan terlarang sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan serta kesihatan awam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Pengarah PRN USM Dr Nur Azzalia Kamaruzaman berkata perkembangan itu menunjukkan rokok elektronik tidak lagi sekadar menjadi alat penghantaran nikotin, malah berpotensi menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda.
Beliau berkata evolusi pesat produk rokok elektronik sejak sedekad lepas turut menjadikan usaha pemantauan, penguatkuasaan dan rawatan kes keracunan semakin mencabar kerana kandungan bahan digunakan sentiasa berubah.
"Peranti itu semakin jelas disalahgunakan sebagai medium pengambilan dadah dan bahan terlarang, pelbagai bahan digunakan secara silih berganti termasuk dadah sintetik seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate yang mempunyai kesan sangat kuat serta sering kali sukar dirawat menggunakan pendekatan klinikal biasa.
"Realitinya evolusi pantas vape menjadikan ia amat sukar dipantau dan dikawal, keupayaan makmal untuk menyaring serta mengesahkan kehadiran bahan terlarang dalam vape juga masih terhad dan memerlukan kos yang tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nur Azzalia berkata dalam keadaan bahan digunakan sentiasa berubah-ubah, usaha pengesanan menjadi semakin mencabar dan kadangkala tidak seiring dengan kepantasan perubahan pasaran gelap malah bukti penyalahgunaan rokok elektronik kini semakin ketara.
Beliau berkata pendedahan awal nikotin kepada kanak-kanak dan remaja pula diketahui boleh memberi kesan terhadap perkembangan otak, daya pemikiran, keupayaan pembelajaran serta pembentukan tingkah laku mereka pada masa hadapan.
"Keadaan itu menjadi lebih membimbangkan apabila penggunaan vape dalam kalangan remaja terus meningkat, trend peningkatan menunjukkan prevalens penggunaannya meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022 berdasarkan data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS).
"Trend itu menunjukkan semakin ramai anak muda terdedah kepada nikotin dan berisiko terjerumus kepada ketagihan serta penyalahgunaan bahan pada usia lebih awal," katanya.
Beliau berkata PRN menjelaskan bahawa data kes keracunan berkaitan rokok elektronik yang diterima tidak menggambarkan realiti sebenar situasi di Malaysia dan data tersebut hanyalah berdasarkan panggilan diterima oleh PRN bagi tujuan mendapatkan maklumat pengurusan kes keracunan, bukannya pangkalan data nasional pelaporan kes rokok elektronik.
Nur Azzalia berkata angka yang wujud berkemungkinan hanya mewakili sebahagian kecil daripada kejadian sebenar yang berlaku di lapangan dan situasi itu boleh diibaratkan seperti “bom jangka” yang menunggu masa untuk mencetuskan impak kesihatan awam lebih besar.
Sehubungan dengan itu, katanya PRN menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dan gesaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempertimbangkan langkah pengharaman rokok elektronik demi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat, khususnya generasi muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial