Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

661 Murid Rompin Sertai Program STEM "Outreach" 2026 Anjuran Petronas

09/06/2026 07:07 PM

KUANTAN, 9 Jun (Bernama) -- Sebanyak 661 murid prasekolah dan sekolah rendah daripada sembilan sekolah sekitar daerah Rompin menyertai Program Memperkasakan Ilmu: STEM “Outreach” 2026 yang dianjurkan syarikat petroleum negara, Petronas. 

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang itu bertujuan memperluaskan akses pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar luar bandar yang lazimnya berdepan kekangan kemudahan, jarak dan kos untuk mendapatkan pendedahan seumpama itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Razali Kassim berkata program berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan murid di kawasan luar bandar mendapat peluang pembelajaran lebih luas serta pendedahan kepada aplikasi ilmu STEM dalam kehidupan sebenar.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata melalui pendekatan pembelajaran secara langsung dan interaktif, murid berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi sains, bengkel, pameran interaktif dan permainan berasaskan STEM.

"Pendekatan ini memberi pengalaman pembelajaran yang berbeza daripada suasana bilik darjah konvensional, sekali gus membantu meningkatkan minat dan kefahaman murid terhadap STEM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata pendedahan awal menerusi program seumpama itu penting bagi memupuk minat serta membina keyakinan murid untuk meneroka bidang STEM sebagai asas kepada masa depan mereka.

“Program ini kami rangka khusus untuk memberi peluang kepada murid di kawasan luar bandar menikmati pengalaman pembelajaran STEM secara langsung dan lebih bermakna,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, Program STEM Outreach 2026 merupakan antara usaha berterusan Petronas untuk merapatkan jurang akses pendidikan, memperkasa komuniti setempat dan menyokong aspirasi negara melahirkan bakat masa depan yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi.

Petronas menyasarkan sekolah berbeza setiap tahun bagi memperluas manfaat program STEM dan telah memberi manfaat kepada lebih 66,000 pelajar di seluruh negara sejak 2014.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ridan Mohd Jaafar Ramli berkata kehadiran murid daripada sekolah yang terletak hingga hampir 80 kilometer dari lokasi program membuktikan wujud permintaan tinggi terhadap inisiatif pembelajaran STEM dalam kalangan komuniti luar bandar.

Beliau berkata Program STEM Outreach 2026 yang julung kali diadakan di sekolah itu berjaya membuka akses kepada pengalaman pembelajaran STEM yang lebih interaktif dan menyeronokkan kepada murid yang sebelum ini mempunyai peluang terhad untuk mengikuti program seumpamanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan