KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Festival Kesenian Kelantan (FKRK) 2026 menyasarkan kehadiran kira-kira 150,000 pengunjung sepanjang penganjurannya selama empat hari bermula 1 hingga 4 Julai depan di Jeti Pelancongan Tok Bali, Pasir Puteh.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan Rohaniza Abdullah berkata festival yang memasuki penganjuran kali kesembilan itu dijangka menjadi platform utama dalam mempromosi seni, budaya dan warisan negeri berkenaan kepada masyarakat tempatan serta pelancong.
“Antara tarikan utama yang disediakan ialah persembahan dikir barat, makyung, wayang kulit, rebana ubi, kertok, seni bela diri, muzik tradisional serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum.
“Kita juga menyediakan pelbagai pertandingan dan aktiviti rakyat bagi memberi pengalaman lebih dekat kepada pengunjung untuk mengenali warisan budaya Kelantan,” katanya selepas mengetuai kunjungan delegasi JKKN Kelantan ke pejabat biro Bernama Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata antara aktiviti yang bakal berlangsung ialah pertandingan baling tin, decok (ting ting), biddah (lastik burung), konda kondi, silat tari, perahu kolek berhias, ayam serama, masakan tradisional dan gubahan pulut sirih junjung.
Rohaniza berkata festival itu turut menampilkan demonstrasi pelbagai permainan tradisional seperti wau bercahaya, sepak raga bakul, tarik upih, lompat tali, memanah dan laga tempurung yang semakin jarang dipertontonkan kepada generasi muda.
Selain persembahan dan aktiviti kebudayaan, pelbagai ruang pameran serta jualan turut disediakan menerusi segmen Pasar Melayu Klasik, Foodie Fest, Wakaf Seni Budaya, pameran agensi kerajaan dan usahawan tempatan.
Beliau berkata pengunjung juga berpeluang mengikuti sesi perkongsian bersama pempengaruh “Biso Demo Mek Yun” serta beberapa usahawan berjaya anak Kelantan.
Rohaniza berkata festival bertemakan “Pakat Mari Belako, Tengok Mene Kito” itu bertujuan mengangkat identiti seni dan budaya Kelantan, di samping memberi ruang kepada penggiat seni menampilkan kreativiti masing-masing.
“Pada masa sama, festival ini menjadi medium untuk menjadikan kesenian tradisional sebagai produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Kelantan sekali gus merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata festival anjuran JKKN dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan itu menerima sokongan padu daripada 20 penaja yang komited bagi memastikan kejayaan penganjurannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial