Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Revolusi AI: Malaysia Kekal Komited Terhadap Masa Depan Kerja Berorientasikan Manusia

09/06/2026 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Malaysia mengulangi komitmen terhadap masa depan kerja berorientasikan manusia pada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-114, di sebalik perkembangan kecerdasan buatan (AI), yang mengubah dunia pekerjaan serta menimbulkan kebimbangan terhadap hak, kesaksamaan dan keterangkuman. 

Bercakap pada Sesi Pleno persidangan itu di Geneva, Switzerland hari ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kemajuan teknologi hanya boleh dianggap sebagai kemajuan apabila ia membantu mempermudah kerja di samping memartabatkan nilai manusiawi.

“Persoalannya kini bukan lagi sama ada AI akan mengubah masyarakat kita, kerana ia sudah pun berlaku. Cabaran sebenar adalah sama ada kita mampu membentuk transformasi itu supaya kekal adil, inklusif dan berteraskan manusiawi, di samping memastikan tiada sesiapa yang tercicir,” katanya dalam ucapan yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Ramanan berkata pendekatan Malaysia dipandu oleh kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, keadilan dan kemanusiaan dalam pembangunan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan kita bahawa teknologi tanpa nilai hanya akan melebarkan jurang ketidaksamaan dan memperdalam perpecahan,” katanya sambil menambah bahawa masa depan mesti kekal berorientasikan manusia dan bukannya digerakkan semata-mata oleh algoritma, mesin atau pasaran.

Ramanan berkata Malaysia yang mempunyai tenaga kerja lebih 17 juta orang, kekal memastikan setiap pekerja wajar dilengkapi kemahiran dan dilindungi bagi mendepani ekonomi yang dipacu AI.

Beliau turut menekankan beberapa inisiatif nasional termasuk program latihan AI dan teknologi digital di bawah Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan, yang bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja.

Selari dengan usaha itu, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026-2030 turut mengintegrasikan teknologi baharu bagi menangani risiko tempat kerja disebabkan AI, automasi dan pendigitalan.

“Melalui usaha ini, Digital Risk Assessment System Malaysia memberikan manfaat kepada hampir 270,000 pengguna di seluruh negara, mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan  tempat kerja yang lebih selamat dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Bagi memperkukuh keadilan industri, Ramanan berkata Mahkamah Perusahaan Malaysia telah menambah baik operasi melalui teknologi berasaskan AI, dan sistem rakaman masa nyata digital, yang menggantikan kaedah manual.

Selain itu, Mahkamah Buruh sedang dinaik taraf dengan sistem rakaman digital secara berperingkat, yang pelaksanaan sepenuhnya di Semenanjung Malaysia dijangka menjelang 2030 bagi meningkatkan kecekapan dan keadilan dalam keadilan industri.

Bagi menyokong penyesuaian industri, potongan cukai latihan AI dan keselamatan siber di bawah ekosistem Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri akan membantu majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana melabur dalam peningkatan kemahiran dan pemahiran semula pekerja.

“Melalui inisiatif ini, majikan layak menerima potongan cukai tambahan 50 peratus bagi perbelanjaan latihan AI dan keselamatan siber yang bersesuaian,” katanya.

Ramanan berkata platform pasaran buruh negara MYFutureJobs juga telah memudahkan 1.49 juta penempatan pekerjaan sejak 2020, menghubungkan 3.3 juta pencari kerja dengan 13.4 juta kekosongan jawatan melalui padanan pekerjaan berasaskan AI.

Dalam aspek perlindungan sosial pula, Ramanan berkata hampir 10 juta pekerja sektor formal kini dilindungi di bawah skim perlindungan kecederaan 24 jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 1 Jun 2026, sekali gus memperluas perlindungan di luar waktu kerja buat kali pertama sejak 1969.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan