Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia, IOE Perkukuh Kerjasama Strategik Demi Pasaran Buruh Inklusif

09/06/2026 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE) bagi membangunkan ekosistem pasaran buruh yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kerjasama itu penting dalam memperkukuh keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, perlindungan pekerja dan kepentingan majikan bagi mendepani cabaran dunia pekerjaan global yang semakin kompleks.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam sesi bersama dengan kepimpinan IOE yang diketuai Setiausaha Agung Roberto Suárez Santos, Naib Presiden Matthias Thorns dan Pengarah Dasar pertubuhan berkenaan iaitu Akustina Morni serta wakil organisasi majikan Malaysia daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) diterajui Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Ad Banner
Ad Banner

Malaysia turut berkongsi perkembangan dasar dan inisiatif utama termasuk reformasi undang-undang perburuhan, Akta Pekerja Gig 2025, Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026-2030 dan pelaksanaan Skim LINDUNG 24 JAM yang berkuat kuasa 1 Jun 2026.

“Komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan dasar dan polisi yang inklusif, progresif serta seimbang turut ditegaskan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh perlindungan pekerja malah mengambil kira keperluan dan daya saing majikan bagi memastikan ekosistem pasaran buruh negara terus kondusif, berdaya tahan serta mampu menarik pelaburan berkualiti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ramanan berkata IOE menyambut baik usaha Malaysia memperkukuh standard perburuhan negara selaras dengan perkembangan semasa dunia pekerjaan dan amalan antarabangsa.

IOE turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia khususnya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), pembangunan kemahiran termasuk kecerdasan buatan (AI) selain agenda transformasi digital serta hijau.

Beliau berkata Malaysia akan terus memperluas kerjasama antarabangsa bagi memastikan pembangunan pasaran buruh negara kekal inklusif dan berdaya saing demi manfaat pekerja, majikan serta negara.

Delegasi Malaysia disertai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Dr Mohd Shaharin Umar, Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, Setiausaha Politik Aizuddin Abd Gaffal, Penasihat Undang-Undang KESUMA Shamsurryaty Samsuddin dan Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Perburuhan Grace Dairiam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan