Oleh Ima Aimi Nadia Ibrahim
ALOR SETAR, 10 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan terhadap aktiviti perniagaan di kawasan pentadbirannya bagi membendung sebarang bentuk penyalahgunaan lesen serta kegiatan perniagaan haram, khususnya melibatkan warga asing.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Ghafar Yahya berkata beberapa siri operasi bersepadu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan MBAS bersama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen Kedah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan Pejabat Daerah Kota Setar bagi membanteras kegiatan itu sejak tahun lepas.
“Beberapa kategori premis yang mempunyai pekerja warga asing telah dikenal pasti dan diperiksa, antaranya melibatkan 73 kedai cuci kereta, 64 restoran dan 20 premis kedai runcit.
“Selain itu, operasi penguatkuasaan premis warga asing turut melibatkan kawasan lokaliti yang menjadi tumpuan warga asing berkumpul seperti di pusat bandar (Jalan Langgar) dan kawasan tapak binaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata setakat ini MBAS tidak mengesan kes melibatkan warga asing yang menyalahgunakan visa mereka untuk menjalankan perniagaan di bandar raya itu.
“MBAS ingin menegaskan bahawa lesen perniagaan hanya dikeluarkan kepada pemohon warganegara Malaysia. Pemegang lesen juga hendaklah mematuhi syarat-syarat khusus yang telah ditetapkan.
“Antaranya, pemegang lesen tidak dibenarkan menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai pas atau permit kerja yang sah mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Selain itu, Abdul Ghafar berkata pemohon juga perlu mengemukakan maklumat serta senarai pekerja asing yang bekerja di premis mereka dan memastikan salinan permit kerja yang sah sentiasa dikemukakan apabila diperlukan.
Beliau berkata pekerja asing juga tidak dibenarkan ditempatkan di kaunter hadapan premis sebagai juruwang atau petugas barisan hadapan manakala lesen perniagaan yang diluluskan tidak boleh disewakan (sublet) atau dipajak kepada mana-mana warga asing.
Menurut Abdul Ghafar, sebarang pelanggaran terhadap syarat-syarat berkenaan boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang dan syarat lesen yang berkuat kuasa.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah Mohd Yusrizal Yusoff berkata isu penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan tanpa kebenaran yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipandang serius oleh semua pihak berkepentingan.
“Rakyat sudah lama membangkitkan isu ini kerana ada warga asing yang membuka perniagaan secara kecil atau besar menggunakan visa pelawat mahupun visa pelajar. Mereka datang ke negara kita dan menjalankan perniagaan untuk mengaut keuntungan sehingga menjejaskan ekonomi rakyat tempatan.
“Kita pula yang terpaksa bersaing dengan mereka. Warga asing menjalankan perniagaan tanpa lesen, sedangkan rakyat tempatan perlu mematuhi syarat lesen, permit dan pelbagai peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan operasi bersepadu berskala besar melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti perniagaan haram serta penyalahgunaan visa oleh warga asing.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang didakwa menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini, termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial