Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perusahaan Bot Pelancong Kampung Masjid Tok Ku Rancakkan Pelancongan Sungai Terengganu

11/06/2026 02:59 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Jun (Bernama) -- Perusahaan bot pelancong yang akan diusahakan oleh penduduk Kampung Masjid Tok Ku di sini bukan sahaja mampu menjana pendapatan komuniti setempat, malah turut berpotensi merancakkan sektor pelancongan berasaskan air dan alam semula jadi di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Masjid Tok Ku Syed Husein Helmi Tuan Rashid berkata bot berkapasiti 12 penumpang berharga RM138,000 itu diterima pihaknya dua minggu lepas melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTI MADANI).

Beliau berkata komuniti kampung memilih untuk menjalankan perusahaan bot pelancong berikutan kedudukan kampung yang terletak berhampiran Sungai Terengganu yang boleh ditelusuri untuk menyaksikan kecantikan lokasi-lokasi ikonik di Terengganu seperti Jambatan Angkat di Kuala Nerus serta Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam di sini. 

Ad Banner
Ad Banner

“Kami melihat potensi besar dalam sektor pelancongan sungai kerana aktiviti menelusuri Sungai Terengganu semakin mendapat permintaan. Selain itu, kami juga melihat permintaan terhadap aktiviti mencandat sotong dan memancing yang melonjak sejak setahun atau dua tahun kebelakangan ini, terutama dalam kalangan pelancong dari luar Terengganu,” katanya kepada Bernama di Kampung Masjid Tok Ku di sini. 

Beliau berkata meskipun perkhidmatan bot pelancongan itu akan beroperasi dalam tempoh tiga atau empat hari lagi, pihaknya telah menerima tempahan yang hampir penuh sehingga Julai ini.

Syed Husein Helmi berkata buat masa ini beliau bersama penduduk kampung masih dalam proses melengkapkan beberapa fasiliti dan kemudahan pada bot berkenaan bagi memenuhi spesifikasi serta keperluan operasi pelancongan sebelum perkhidmatan itu dimulakan.

“Kadar yang akan dikenakan bagi pakej menelusuri Sungai Terengganu adalah RM30 seorang untuk dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak manakala bagi aktiviti mencandat sotong dan memancing pula caj yang dikenakan adalah antara RM1,200 hingga RM1,500 bergantung kepada tempoh serta pakej yang diambil pelanggan,” katanya, sambil memberitahu bot pelancong itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tandas. 

Beliau berkata keuntungan yang dijana menerusi projek itu akan dimanfaatkan untuk kebajikan penduduk Kampung Masjid Tok Ku termasuk bantuan ketika berdepan situasi kecemasan seperti bencana ribut dan sebagainya.

Selain itu, sekiranya memperoleh pendapatan yang lebih, pihaknya bercadang untuk membeli sebuah lagi bot pelancong bagi mengembangkan lagi perusahaan itu. 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman Datuk Azan Ismail yang merasmikan bot pelancong itu berkata inisiatif penduduk Kampung Masjid Tok Ku yang memanfaatkan sebaiknya Program SejaTi MADANI wajar dijadikan contoh oleh penduduk kampung lain, terutama yang terletak berhampiran sungai.

“Saya yakin dengan pengurusan dan penjagaan yang baik termasuk dari segi penyelenggaraan bot, perusahaan ini akan bertahan lama dan membawa keuntungan berganda kepada komuniti setempat,” katanya.

Azan berkata projek di bawah Program SejaTi MADANI itu membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu komuniti setempat menerokai peluang ekonomi baharu dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan