Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah Dibubar Selepas Sedekad Di Laut Semporna

11/06/2026 05:14 PM

SEMPORNA, 11 Jun (Bernama) -- Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) yang terletak di perairan di sini secara rasminya dibubarkan semalam selepas sedekad beroperasi menjadi benteng hadapan dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara di Sabah Timur.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Wilayah Laut 2 dalam kenyataan memaklumkan majlis pembubaran penuh istiadat itu disempurnakan Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris sebagai simbolik penamatan perkhidmatan pangkalan yang beroperasi sejak 31 Julai 2015.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan PL TSR digunakan sebagai sebuah platform strategik yang menyokong pelaksanaan operasi keselamatan maritim, pemantauan zon berkepentingan maritim serta memperkukuhkan kehadiran pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Ad Banner
Ad Banner

Kenyataan itu memaklumkan lokasi strategik PL TSR membolehkan tindak balas yang pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan, sekali gus menjadi simbol komitmen berterusan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, fungsi dan peranan PL TSR akan diambil alih oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan kehadiran dan kesiagaan operasi TLDM di Sabah Timur.

Pada asalnya, PL TSR adalah platform luar pesisir mudah alih dikenali sebagai Hercules 259 dibina di Amerika Syarikat, sebelum platform berkenaan ditransformasi menjadi pangkalan laut hadapan berteraskan keselamatan melalui kerjasama strategik TLDM, Petronas dan Sapura Kencana.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan