Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JKR Nilai Kewajaran Pembinaan Jambatan Baharu Di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu

11/06/2026 08:04 PM

IPOH, 11 Jun (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan penilaian terhadap keadaan jambatan kayu di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Tapah, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat berhubung perkara itu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata cadangan penambahbaikan infrastruktur berkenaan perlu dinilai berdasarkan keperluan sebenar termasuk jumlah pengguna serta jenis penggunaan kenderaan.

“Kita membincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) semalam dan perkara sama juga pernah dibawa oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ad Banner
Ad Banner

“Setiap permohonan akan diteliti terlebih dahulu dari segi justifikasi, termasuk jumlah pengguna yang akan menggunakan kemudahan itu, kekerapan kenderaan berat dan kereta melaluinya. Jika sangat kurang, maka tidak berbaloi untuk membina jambatan yang canggih, memadai jambatan gantung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026 di sini hari ini.

Pada 9 Jun lepas, ADUN Chenderiang Choong Shin Heng menjelaskan beliau akan mengemukakan permohonan pembinaan jambatan baharu di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu bagi menggantikan kemudahan sedia ada yang uzur dan hanya dibina menggunakan bahan asas seperti papan.

Jambatan itu merupakan lokasi penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, Sabtu lepas yang sebelum itu hilang selama 14 hari di kawasan Gunung Batu Putih, Tapah.

Mengenai sumbangan kepada Orang Asli yang menemukan Jaslinda, Saarani berkata perkara itu sedang diperhalusi selain laporan rasmi berhubung insiden tersebut masih belum diperoleh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan