KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Platform MyDigital ID akan menjalani satu pusingan pengukuhan dan penambahbaikan keselamatan sebagai langkah permulaan dalam pelaksanaan pengukuhan terhadap ekosistem identiti digital negara.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi meningkatkan keselamatan identiti digital rakyat dan keyakinan terhadap ekosistem digital negara.
Antara langkah akan dilaksanakan itu ialah penambahbaikan ke atas sistem pendaftaran MyDigital ID di kios melalui pengenalan lapisan keselamatan tambahan, membolehkan semakan biometrik wajah secara masa nyata (real-time) dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara semasa proses pendaftaran dilakukan.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh ketepatan pengesahan identiti serta mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti dan akses tidak sah,” menurut kenyataan itu.
Bagi pengguna sedia ada, mereka akan dimaklumkan mengenai keperluan pengesahan semula biometrik wajah secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan integriti dan keselamatan identiti digital sentiasa terpelihara.
Penambahbaikan keselamatan itu akan dilaksanakan secara berperingkat di semua kios MyDigital ID, dengan kerja penyelenggaraan dijadualkan bermula 6 pagi hari ini sehingga 6 pagi 14 Jun.
MKN memaklumkan sepanjang tempoh kemas kini kios, pendaftaran MyDigital ID masih boleh dibuat melalui telefon bimbit dengan memuat turun aplikasi MyDigital ID melalui App Store, Google Play atau Huawei AppGallery.
“Peningkatan penggunaan perkhidmatan digital oleh rakyat, perniagaan dan agensi kerajaan menjadikan keperluan melindungi identiti digital semakin kritikal berikutan ancaman seperti penipuan dalam talian, penyamaran identiti, kecurian data dan eksploitasi siber,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, MyDigital ID memainkan peranan utama dalam ekosistem identiti digital negara yang berfungsi sebagai pemudah cara kepada pengesahan identiti lebih selamat dan diyakini pelbagai perkhidmatan digital sektor awam dan swasta.
Selain itu, MKN akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyelaras langkah pengukuhan keselamatan merentasi pelbagai platform identiti dan pengesahan identiti termasuk MyKad bagi memastikan identiti digital rakyat sentiasa dilindungi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial