Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peserta Fun Walk HAWANA 2026 Teruja, Hargai Peranan Media

13/06/2026 01:22 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Persiapan akhir bagi program Fun Walk HAWANA 2026 yang akan berlangsung esok, giat dijalankan hari ini dengan pengagihan kit penyertaan kepada peserta yang bakal memeriahkan acara berkenaan.

Tinjauan di lokasi pengagihan kit di lobi Wisma Bernama, di sini, mendapati peserta mula hadir seawal 10 pagi untuk mengambil kit masing-masing, mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap program julung kali diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Ad Banner
Ad Banner

Kebanyakan peserta meluahkan keterujaan untuk menyertai acara berjalan kaki sejauh 2.6 kilometer di Taman Tasik Titiwangsa itu, selain menyatakan sokongan terhadap kepentingan peranan pengamal media di negara ini.

Peserta dari Cheras, Mohd Rizam Abdul Rahim, 47, berkata dia bersama keluarga menyertai program itu sebagai menghargai sumbangan pengamal media yang menjadi penghubung antara pelbagai pihak dalam penyampaian maklumat.

“Saya bersama isteri dan dua anak sertai program ini selepas mengetahuinya melalui media sosial. Kami suka sertai acara sebegini sebab dapat mengamalkan gaya hidup sihat selain dapat meluangkan masa dengan keluarga,” katanya kepada Bernama.

Pekerja swasta Zaleha Othman, 50, pula menyifatkan wartawan sebagai golongan yang memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang sahih dan tepat, khususnya ketika berdepan lambakan maklumat di pelbagai platform digital.

“Walaupun kini ramai mendapatkan maklumat melalui media sosial, wartawan masih relevan kerana mereka bertanggungjawab mendapatkan dan mengesahkan sesuatu maklumat sebelum disampaikan kepada orang ramai,” katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd Fariq Salim, 43, berkata program Fun Walk HAWANA 2026 ialah inisiatif yang baik untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menghargai peranan media.

“Masyarakat perlu terus menyokong usaha pengamal media yang komited menyampaikan berita dan maklumat yang benar kepada orang ramai,” kata penduduk dari Cheras itu.

Bagi suri rumah, Sazalina Abdul Rahman, 50, penyertaannya dalam program itu didorong keinginan untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarganya.

“Saya lihat program seperti ini sangat baik kerana dapat menggalakkan orang ramai keluar beriadah dan menjaga kesihatan selain mengeratkan silaturahim,” katanya yang menetap di Wangsa Maju.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Sukan HAWANA 2026 Abdul Halim Hafiz Mohamad Radzali berkata proses pengagihan kit kepada orang awam yang bermula 10 pagi hingga 4 petang hari ini berjalan lancar.

“Kita berharap cuaca esok baik, tidak hujan dan semua peserta dapat tiba awal. Peserta digalakkan hadir seawal 6.30 pagi untuk sesi pemanasan badan sebelum pelepasan pada 8 pagi,” katanya.

Fun Walk HAWANA 2026 menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan 1,500 peserta terdiri daripada pengamal media dan orang awam.

Pelbagai acara sampingan turut menanti peserta, termasuk sukan rakyat, aktiviti mewarna dan kuiz, dengan 500 hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM50,000.

Program anjuran Bernama itu adalah antara pengisian sambutan HAWANA 2026 yang menghimpunkan pengamal media dan masyarakat sambil mempromosikan gaya hidup sihat.

Kemuncak sambutan akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun dan dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan