IPOH, 14 Jun (Bernama) -- Koordinator Sekretariat Solidariti Bersama Dara, Amoi dan Kelat (DAK) Neow Choo Seong akan mengadakan Larian Solidariti Bersama DAK bagi menyuarakan keprihatinan terhadap nasib tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.
Sekretariat itu dalam satu kenyataan memaklumkan, Neow akan menempuh larian solo penuh cabaran sejauh kira-kira 290 kilometer (km) merentasi Perak, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam tempoh enam hari dari 17 Jun bermula di Taiping dan berakhir di Bangunan Parlimen, pada 22 Jun.
“Larian ini manifestasi komitmen dan solidariti bagi menuntut perhatian pihak kerajaan serta pihak berkepentingan terhadap kebajikan gajah-gajah berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Ketua Penerangan Pemuda MCA itu akan memulakan larian dari Taiping ke Ipoh sejauh 61 km pada 17 Jun, 18 Jun (Ipoh-Kampar, 44 km), 19 Jun (Kampar-Tapah, 45 km), 20 Jun (Bidor-Tanjung Malim, 60 km), 21 Jun (Tanjung Malim-Selayang, 60 km) dan 22 Jun (Selayang-Parlimen) melibatkan jarak 20 km.
Beliau kemudian akan menyerahkan petisyen di hadapan pintu masuk utama bangunan Parlimen pada hari pertama pembukaan sidang Parlimen 22 Jun kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk dibawa dan disuarakan di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Neow akan mengadakan sesi perjumpaan bersama masyarakat setempat pada setiap hentian larian bagi memberikan kesedaran tentang pentingnya perjuangan menuntut keadilan dan menjaga kebajikan khazanah negara.
“Larian ini bukan sekadar aktiviti fizikal, malah satu bentuk gesaan agar Dara, Amoi, dan Kelat dibawa pulang ke tanah air.
“Masa semakin suntuk. Keadaan kesihatan Dara, Amoi, Dan Kelat sejak dibawa ke Jepun 11 Mac 2026 semakin lama dilihat semakin merosot dan isu ini perlu dibahaskan segera di Dewan Rakyat.
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama memberikan perhatian terhadap perjuangan ini bagi memastikan kebajikan haiwan ikonik negara kita sentiasa terjaga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial