KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Empat individu termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk kayu di Kilometer 43.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Karak, Bentong, Pahang petang ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan memaklumkan nahas melibatkan sebuah kereta Honda City dan treler dengan empat mangsa itu maut di lokasi kejadian.
Mereka ialah pemandu kereta A. Halim Hasoon, 55; Rozita Buang, 58; Norbahyah A. Halim, 26, dan bayi perempuan Nayla Afya Aizat.
“Pemandu treler dilaporkan mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
JBPM memaklumkan bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi.
Operasi dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Elektriksolar Janda Baik selain pihak LPT menyediakan sebuah jentera bagi mengangkat treler untuk memudahkan proses mengeluarkan mangsa.
Operasi tamat pada 6.33 petang dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, syarikat konsesi LPT AFA PRIME Bhd dalam kenyataan memaklumkan kemalangan menyebabkan lorong perlahan dan lorong kecemasan di lokasi kejadian ditutup sementara bagi membolehkan kerja menyelamat serta pengalihan kenderaan dijalankan.
Setakat petang ini, kerja mengalihkan muatan habuk kayu dari treler masih giat dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial