KUANTAN, 15 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Karak, Bentong, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini, baginda berdua menzahirkan rasa amat dukacita atas tragedi yang meragut empat nyawa termasuk seorang bayi berusia setahun, selepas kereta dinaiki mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK).
“Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang mendoakan agar roh kesemua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.
Baginda berdua turut menzahirkan simpati kepada ahli keluarga mangsa yang sedang melalui saat-saat sukar dan penuh kesedihan susulan tragedi berkenaan.
"Semoga seluruh ahli keluarga mangsa dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," menurut hantaran itu.
Menurut hantaran berkenaan, empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Honda City disahkan meninggal dunia di lokasi selepas kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler yang membawa muatan habuk kayu.
“Pemandu treler dilaporkan mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar memaklumkan pemandu treler berumur 40 tahun itu didapati positif dadah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial