KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) terus memperkukuh komitmennya dalam mempromosikan pemakanan seimbang, gaya hidup aktif dan kesejahteraan masyarakat apabila sekali lagi tampil sebagai penaja utama Bulan Nutrisi Malaysia (NMM) 2026.
AMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang berlangsung di Sunway Velocity Mall dari 4 hingga 7 Jun itu bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengambil langkah proaktif ke arah kehidupan yang lebih sihat.
Menurut syarikat itu, NMM 2026 yang bertemakan “Delay No More - Eat Right, Be Active Today” menjadi platform penting untuk memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan dan amalan pemakanan yang lebih baik.
“Melalui inisiatif ini, AMB terus menyokong usaha membudayakan gaya hidup sihat dengan menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan relevan untuk seisi keluarga,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang empat hari karnival berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan permainan menarik serta merasai pengalaman produk yang menampilkan produk utama syarikat seperti AJI-NO-MOTO®, aminoVITAL dan Ajinomoto Gyoza.
Reruai AMB turut menjadi tumpuan menerusi Konsep AJI-NO-MOTO® Smart Salt yang mengetengahkan kaedah mengurangkan pengambilan sodium tanpa menjejaskan kelazatan makanan, sekali gus membuktikan bahawa pilihan yang lebih sihat tidak semestinya mengorbankan rasa.
Program turut dimeriahkan dengan aktiviti pentas dan libat urus komuniti yang menggalakkan pembelajaran tentang pemakanan sihat dalam suasana santai dan menyeronokkan.
“Melalui sokongan berterusan terhadap NMM, AMB kekal komited dalam menyumbang ke arah pembentukan komuniti yang lebih sihat dan kesejahteraan yang mampan.
“AMB akan terus memanfaatkan kepakaran dalam bidang pemakanan, inovasi produk dan penglibatan komuniti bagi merealisasikan aspirasi Eat Well, Live Well demi masa depan yang lebih sihat untuk generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial