Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SJKT Rajaji Terima Bangunan Bernilai RM8 Juta Di Tapak Baharu

15/06/2026 03:13 PM

GEORGE TOWN, 15 Jun (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rajaji akan menerima bangunan bernilai RM8 juta selepas Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan pembinaannya di tapak baharu di Farlim, Bandar Baru Ayer Itam di sini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata projek itu bakal memberi nafas baharu kepada sekolah berusia 76 tahun itu yang padat dan tidak lagi mampu menampung keperluan kira-kira 100 murid.

Beliau berkata kerja pembinaan dijangka mengambil masa 18 bulan dan sekolah itu dijangkakan mula beroperasi di tapak baharu selewat-lewatnya pada sesi persekolahan 2029.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada 2022, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan tanah seluas 2.3 ekar di Farlim, kira-kira 500 meter dari lokasi asal bagi memindahkan sekolah ini ke tapak baharu.

“Kementerian Pendidikan menerima permohonan daripada lembaga pengelola sekolah (untuk membina bangunan baharu) pada tahun lepas dan kelulusan diberikan bagi pemindahan sekolah ke lokasi baharu selepas semua isu berkaitan diselesaikan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Wong berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan Baharu SJKT Rajaji di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil negeri Datuk Seri S. Sundarajoo.

Beliau berkata kos pembinaan projek ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mencerminkan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan pendidikan negara.

Sementara itu, Sundarajoo berkata Pulau Pinang mempunyai 28 SJKT dengan beberapa daripadanya sedang melalui proses pembangunan, termasuk usaha mendapatkan tapak tetap dan pelaksanaan projek baharu secara berperingkat.

Beliau berkata sekurang-kurangnya tiga projek pecah tanah SJKT dijangka pada tahun ini selain beberapa projek lain yang sedang dipulihkan termasuk di SJKT Sungai Bakap dan SJKT Juru.

“Ini perkembangan penting kerana ia melibatkan usaha berterusan memastikan SJKT di Pulau Pinang mempunyai kemudahan lebih baik tanpa membebankan kewangan negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan