Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Usaha Pacu Pelaburan dan Teknologi Perlu Jadi Keutamaan, Bukan Pertikaian Politik - PM

16/06/2026 12:08 AM

MUAR, 15 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha memacu Malaysia ke hadapan menerusi pelaburan luar serta teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum perlu menjadi fokus utama kerajaan berbanding pertikaian politik.

Beliau berkata pendekatan itu sedang dilaksanakan menerusi usaha kerajaan membawa masuk pelaburan dalam bidang AI dan pusat data ke negara ini, selain menerokai teknologi pengkomputeran kuantum menerusi lawatannya ke Jepun baru-baru ini.

Anwar berkata langkah itu berupaya menjadikan Malaysia sebagai negara berdaya saing tinggi untuk masa depan generasi akan datang.

Ad Banner
Ad Banner

"Untuk anak-anak kita, itu masa depan dia... AI dan kuantum... jadi, kita kena buat… kalau politik hari-hari asyik gaduh... pasal Cina, Melayu, India, kuil, masjid... sudah gaduh sahaja... bila mahu jaga negara ini?" katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan (PH) “Keadilan Untuk Bangsa Johor” Bersama Perdana Menteri di sini malam ini.

Turut hadir Naib Presiden PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan.

Sehubungan itu,  Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat agar turut sama membantu kerajaan untuk membangunkan Malaysia.

"Bangun rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India... berganding bahu, bina negara ini, angkat negara ini (jadi) negara hebat kerana kita boleh buat.

"Siapa kata tidak boleh buat... kini ramai orang tengok Malaysia, orang tengok satu dunia, tidak perlu berkempen, orang datang (untuk buat) pelaburan," katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH mengingatkan para pemimpin serta parti politik supaya turut sama memikirkan masa depan dan pembangunan terbaik untuk rakyat daripada memainkan sentimen kebencian.

"Sebab itu saya kata politik ini kalau mahu berjaya, orang kena bijak... kena dengar (masalah rakyat), jangan guna sentimen benci-benci orang... jangan... fikir apa mahu jadi pada negara kita ," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan