Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Skim Baharu: Perkeso Jangka Lonjakan Tuntutan Sehingga 200 Peratus Setahun - Ramanan

16/06/2026 02:31 PM

IPOH, 16 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjangkakan peningkatan kadar tuntutan sehingga 200 peratus setahun berbanding 170,000 kes setahun sebelum ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata peningkatan itu selaras dengan penguatkuasaan skim perlindungan seperti LINDUNG 24 Jam, Akta Pekerja Gig 2025 dan Skim Pengembara yang kini dalam perancangan. 

“Lonjakan ini menuntut kapasiti perkhidmatan rehabilitasi yang lebih efisien dan bersepadu.

Ad Banner
Ad Banner

“Maka, melalui pembangunan pusat ini (Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah), ia akan mengubah landskap rehabilitasi negara, seiring perkembangan teknologi dan keperluan pendekatan rehabilitasi yang lebih dinamik,” katanya pada sembah ucapan Perasmian Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah Meru Raya, di sini, hari ini.

Terdahulu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan pusat yang reka bentuknya diilhamkan daripada gabungan seni tekat timbul benang emas dan futuristik, sebelum ini dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Perkeso. 

Ramanan berkata kementerian menaruh keyakinan bahawa ekosistem pusat rehabilitasi Perkeso, berupaya menjadi komponen kritikal dalam memastikan setiap pencarum bukan sahaja dilindungi dari segi faedah kewangan, tetapi juga diberikan peluang pemulihan menyeluruh untuk kembali bekerja dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Menyentuh mengenai Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah, Ramanan berkata dengan kapasiti rawatan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa, pusat tersebut mampu memberi manfaat kepada 3,000 pesakit setahun.

“Sejak pusat rehabilitasi ini mula beroperasi pada Julai 2025 hingga kini, sebanyak 1,095 pesakit menerima rawatan merangkumi kes-kes utama seperti kemalangan, penyakit khidmat, kecederaan saraf tunjang serta penyakit tidak berjangkit seperti strok,” katanya.

Ramanan berkata pusat rehabilitasi terbesar di rantau Asia Tenggara itu dibina dengan kos keseluruhan kira-kira RM1 bilion. 

Beliau berkata pusat tersebut, memiliki unit Cyberdyne Hybrid Assistive Limb terbanyak di dunia dan melalui kerjasama strategik antara Perkeso dan Cyberdyne Incorporation, Jepun, sebanyak 65 unit peralatan Cyberdyne meliputi anggota bawah, single joint dan lumbar disediakan untuk manfaat pesakit. 

“Dengan keupayaan teknologi tersebut, pusat ini bakal menjadi hab rujukan global bagi perkhidmatan neuro-robotik dan Pusat Kecemerlangan Rehabilitasi melalui penawaran 151 jenis perkhidmatan komprehensif, termasuk perkhidmatan neuro-robotik, rawatan sibernik, neuromodulasi, serta program Advanced Return to Work (RTW). 

“Antara fasiliti lain yang disediakan termasuklah Advanced Biomechanics Rehabilitation Platform yang menggabungkan robotik, realiti maya dan simulasi pergerakan serta Advanced Movement Analysis Laboratory, iaitu makmal perintis di Malaysia yang menggunakan teknologi merakam pergerakan, plat pengukur daya dan elektromiografi (EMG)," katanya. 

Selain itu katanya pusat ini turut memiliki fasiliti seperti Litar Latihan Keselamatan Motosikal (MSTT) di bawah Centre for Applied Prevention in Social Security (CAPSS), iaitu merupakan kemudahan latihan penunggangan komprehensif khusus bagi pekerja sektor berisiko, serta turut dilengkapi simulator dan bengkel pemeriksaan motosikal.

Sementara itu, Ramanan berkata pusat tersebut turut menyediakan rehabilitasi vokasional, yang menawarkan pelbagai modul latihan merangkumi bidang teknikal, sajian, kreatif, pentadbiran serta kecantikan, bagi meningkatkan kefungsian dan kebolehpasaran penerima rawatan. 

“Usaha ini diperkukuh melalui kerjasama dengan pemain industri tempatan yang berfungsi sebagai latihan sambil bekerja dalam bidang kulinari, barista, dan keusahawanan.

“Bagi menyokong pengintegrasian semula individu ke dalam masyarakat, perkhidmatan padanan dan penempatan pekerjaan turut disediakan secara langsung di bawah MyFutureJobs Perkeso,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan