GEORGE TOWN, 16 Jun (Bernama) -- Sebanyak 177 premis makanan di Pulau Pinang diarahkan tutup sementara selepas didapati melanggar pelbagai aspek kebersihan, hasil pemeriksaan ke atas 4,069 premis oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di seluruh negeri dari Januari hingga April lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata tindakan penguatkuasaan itu melibatkan pelbagai kategori premis termasuk restoran, kedai makan dan kantin di sekolah, hospital serta kilang yang didapati gagal mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan ditetapkan, berdasarkan operasi serta aduan orang awam.
“Pemeriksaan ke atas 4,069 premis makanan, majoriti didapati mematuhi standard kebersihan ditetapkan, namun 177 premis diarahkan tutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan dilaksanakan, dengan tujuh premis didapati gagal mendapatkan suntikan tifoid.
“Daripada jumlah premis yang ditutup sementara itu, 122 premis atau 68.9 peratus melibatkan masalah kawalan makhluk perosak, 49 premis (27.7 peratus) mempunyai tahap kebersihan tidak memuaskan manakala enam premis (3.4 peratus) dikaitkan dengan kejadian keracunan makanan,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Selain itu, beliau berkata sebanyak 1,771 notis di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan premis dan pengendalian makanan dengan 204 operasi dijalankan di seluruh negeri.
Gooi memaklumkan JKNPP turut menerima 241 aduan berkaitan premis makanan tahun ini, dengan 185 aduan melibatkan kebersihan restoran dan kedai makan, 12 pasar raya, sembilan warung atau gerai dan lapan medan selera.
Selain itu, beliau berkata lima aduan melibatkan kantin sekolah, dapur taska, prasekolah dan dapur asrama, dua kilang pemprosesan makanan serta masing-masing satu aduan melibatkan perkhidmatan katering dan p-panggilan manakala 18 aduan lagi melibatkan lain-lain kategori.
Menurut Gooi, tindakan itu bukan bertujuan menghukum pengusaha premis makanan, sebaliknya langkah pencegahan bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang awam selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya premis makanan boleh mengelakkan tindakan penguatkuasaan dengan menggunakan khidmat syarikat kawalan makhluk perosak tertentu atau tindakan hanya dikenakan terhadap premis yang diusahakan oleh kaum tertentu.
“Semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil mengikut prosedur operasi standard, peruntukan undang-undang serta penilaian risiko yang teliti demi melindungi kesihatan awam, selain dijalankan secara profesional tanpa mengira jenis premis mahupun latar belakang pengusaha,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pengusaha premis makanan agar terus menitikberatkan kebersihan premis, penyelenggaraan peralatan, kawalan makhluk perosak serta amalan pengendalian makanan yang selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial