Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perjalanan Timor-Leste Buktikan Keamanan Boleh Dicapai Menerusi Diplomasi: Ramos-Horta

16/06/2026 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pengalaman Timor-Leste dalam mencapai kemerdekaan dan membina keamanan menunjukkan bahawa konflik boleh diselesaikan apabila pemimpin memilih diplomasi, perdamaian dan menghormati undang-undang antarabangsa, kata Presiden Jose Ramos-Horta pada Selasa.

Penerima Hadiah Keamanan Nobel itu berkata perjalanan Timor-Leste daripada konflik kepada kemerdekaan dapat direalisasikan bukan sahaja menerusi kepimpinan negara itu sendiri, tetapi juga solidariti serantau dan antarabangsa, termasuk usaha oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara anggota ASEAN dan rakan-rakan lain.

“Apabila masyarakat antarabangsa bekerjasama, apabila terdapat usaha giat oleh pemimpin yang memahami peranan mereka, maka sesuatu boleh berlaku,” katanya dalam syarahan khas bertajuk “Navigating Turbulent Times, Pursuing Peace”.

Ad Banner
Ad Banner

Presiden itu berkata proses kemerdekaan Timor-Leste turut mencerminkan kepentingan kebijaksanaan kepimpinan negara, dengan merujuk keputusan Indonesia untuk menghormati keputusan referendum 1999 dan perdamaian yang kemudiannya terjalin antara Timor-Leste dan Indonesia.

Timor-Leste, yang dahulunya merupakan tanah jajahan Portugis, berada di bawah pentadbiran Indonesia pada 1975, diikuti lebih dua dekad konflik dan penentangan.

Dalam referendum yang diselia PBB pada 30 Ogos 1999, rakyat Timor-Leste mengundi memihak kepada kemerdekaan, sekali gus membuka laluan kepada pentadbiran peralihan PBB sebelum negara itu memperoleh semula kemerdekaan penuh pada 20 Mei 2002.

Beliau berkata negara itu memilih untuk tidak memburukkan rakyat Indonesia atau mengaitkan konflik itu dengan agama, sambil menambah bahawa perdamaian dapat dicapai kerana kebencian tidak dijadikan alat politik.

Beliau berkata negaranya sejak itu terus berusaha mengekalkan keamanan dan kestabilan, dengan Indonesia turut memainkan peranan konstruktif dalam menyokong kestabilan di sepanjang sempadan bersama dan menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN.

Ramos-Horta turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Malaysia, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas bantuan dalam membina konsensus ASEAN mengenai kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu.

Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ASEAN pada 26 Okt 2025, menandakan peluasan pertama blok itu dalam tempoh 26 tahun.

Menyentuh isu global, Ramos-Horta memberi amaran bahawa hakisan undang-undang antarabangsa, institusi pelbagai hala dan sistem berasaskan peraturan boleh membawa kepada dunia yang ditadbir melalui paksaan dan kekerasan.

Beliau berkata walaupun PBB mempunyai kelemahan, organisasi itu kekal sebagai institusi penting dalam menangani krisis, termasuk di Afghanistan, Sudan, Sudan Selatan, Syria dan kawasan lain yang terjejas akibat konflik.

Ramos-Horta turut menyuarakan kebimbangan bahawa keperluan kemanusiaan masih berdepan kekurangan pendanaan serius, sedangkan transaksi senjata global terus berkembang.

Beliau berkata ASEAN kekal sebagai contoh penting kemajuan serantau selepas muncul ketika era peperangan dan ketegangan sebelum menyumbang kepada keamanan, kemakmuran, peningkatan kadar celik huruf, kesihatan awam dan pembangunan di seluruh Asia Tenggara.

Syarahan itu diadakan bersempena pelancaran buku “The Rising Sun: Timor-Leste’s Journey to Peace and Development”, sebuah penerbitan yang dihasilkan menerusi kerjasama penyelidikan tiga hala melibatkan Malaysia, Australia dan Timor-Leste.

Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis pelancaran buku yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) Datuk Zainol Rahim Zainuddin dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Simon Fellows.

Menurut IDFR, penerbitan itu menelusuri peralihan Timor-Leste daripada pendudukan dan penentangan kepada kemerdekaan, perdamaian dan pembinaan negara, di samping mendokumentasikan peranan pemimpin tempatan Timor-Leste, masyarakat sivil dan rakan antarabangsa, termasuk Malaysia dan Australia.

Program anjuran IDFR itu dihadiri kira-kira 150 peserta, termasuk pegawai kerajaan, wakil misi diplomatik, penggubal dasar, pakar, badan pemikir, pemain industri, ahli akademik dan pengamal media.

Ramos-Horta berada di Malaysia bagi lawatan khas selama lima hari dan dijadual berlepas ke Dili pada Rabu (17 Jun).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan