KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Komitmen Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memastikan pengamal media dari Sabah dan Sarawak terus dilibatkan dalam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) membuktikan kesungguhan penganjur memperkukuh keterangkuman industri media negara.
Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui berkata sejak HAWANA diperkenalkan, wakil media dari negeri-negeri berkenaan sentiasa diberi peluang menyertai program berkenaan meskipun melibatkan kos logistik dan perjalanan yang tinggi.
Lichong yang juga Ahli Majlis Pentadbir Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) berkata penglibatan media dari Sabah dan Sarawak dalam program HAWANA sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan kedua-dua wilayah berkenaan terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan kewartawanan nasional.
“Sejak HAWANA diperkenalkan, kita dapat melihat kesungguhan Bernama untuk memastikan pengamal media dari Sabah dan Sarawak turut serta dalam program berprestij ini bersama rakan-rakan media dari Semenanjung.
“Ia bukan sahaja melibatkan media arus perdana, malah turut merangkumi portal berita terpilih serta wakil persatuan wartawan dari kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Lichong berkata penyertaan berterusan media Sabah dan Sarawak dalam HAWANA yang pernah diadakan di Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Sarawak dan kini Pulau Pinang menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan integrasi industri media di seluruh negara.
Katanya pendekatan inklusif itu penting bagi memastikan suara, pandangan dan pengalaman pengamal media di Sabah dan Sarawak sentiasa diambil kira dalam setiap perbincangan mengenai masa depan kewartawanan negara.
“Sabah dan Sarawak mempunyai keunikan serta cabaran tersendiri dalam landskap media dan adalah penting perspektif dari kedua-dua wilayah ini diberi ruang di peringkat nasional,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkembangan positif itu turut dapat dilihat menerusi penglibatan wakil dari kedua-dua negeri berkenaan dalam Majlis Media Malaysia (MMM) yang berperanan memperkukuh profesionalisme, etika dan kebebasan media.
Beliau menyatakan penyertaan dalam MMM membuktikan media dari kedua-dua wilayah itu bukan sahaja diberi perhatian, malah turut memainkan peranan dalam menentukan hala tuju industri media negara.
Mengenai penganjuran HAWANA di Pulau Pinang tahun ini, Linchong berkata ia membuktikan faktor jarak bukan alasan untuk mengehadkan penyertaan pengamal media dari Sabah dan Sarawak.
“Sabah merupakan antara negeri yang paling jauh dari lokasi penganjuran HAWANA kali ini, dengan perjalanan udara dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang mengambil masa kira-kira dua jam 40 minit.
“Namun begitu, Bernama tetap memastikan wakil media dari Sabah dapat hadir dan menyertai semua program yang diatur. Ini menunjukkan komitmen yang amat tinggi terhadap prinsip keterangkuman dalam pembangunan media negara,” katanya.
Beliau berkata peluang menyertai HAWANA membolehkan pengamal media dari Sabah dan Sarawak memperluaskan jaringan profesional, bertukar pandangan serta mengikuti perkembangan terkini dalam industri media yang sentiasa berubah.
"Terima kasih kepada Bernama, Kementerian Komunikasi dan Kerajaan Pulau Pinang kerana terus mengiktiraf peranan media Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian penting daripada keluarga besar media Malaysia," katanya.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana bertujuan menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.
Sambutan kemuncak HAWANA 2026 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth pada 20 Jun ini dan dijangka dihadiri lebih 1,200 tetamu termasuk pengamal media, delegasi ASEAN dan jemputan rasmi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial