Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

STPM 2025: Dua Anak Nelayan Raih Keputusan Cemerlang, Peroleh PNGK 4.00

18/06/2026 06:16 PM

KANGAR, 18 Jun (Bernama) -- Dua anak nelayan dari Kampung Perak, Kuala Perlis dekat sini meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Nurzaitee Abdullah, 20, dan Nur Farahhanna Mohammad Shukor, 20, calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi berkata kejayaan itu hadiah kepada pengorbanan bapa mereka yang sentiasa mencari rezeki demi memberikan pendidikan terbaik untuk masa depan anak yang lebih baik. 

Kedua-dua remaja itu berkata kejayaan itu juga membuktikan latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan jika disertai usaha, disiplin dan sokongan insan terdekat.

Ad Banner
Ad Banner

Nurzaitee berkata sentiasa memberikan sepenuh tumpuan ketika guru mengajar supaya mudah memahami mata pelajaran selain menjadi kebiasaan untuk bangun kira-kira 3 pagi bagi mengulang kaji.

“Saya memang menyasarkan PNGK 4.00 dan sentiasa menyiapkan tugasan tanpa bertangguh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan STPM 2025 di SMK Derma di sini hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu mengambil mata pelajaran Pengajian Am, Sejarah, Ekonomi dan Bahasa Melayu, berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang pendidikan dengan pengkhususan Sejarah bagi mengikut langkah abangnya.

Sementara itu, Nur Farahhanna berkata kejayaan itu hasil usaha berterusan serta memanfaatkan sepenuhnya sesi pembelajaran di sekolah kerana dirinya banyak bergantung kepada penerangan guru dan kelas tambahan di sekolah.

“Saya bukan jenis ulat buku dan memang ada cabaran (untuk belajar). Tetapi saya cuba paksa diri untuk terus belajar dan ikut kawan-kawan mengadakan sesi belajar bersama-sama,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Nur Farahhanna yang mengambil mata pelajaran Pengajian Am, Sejarah, Geografi serta Bahasa Melayu berkata mahu menjadi guru dan bercadang menyambung pengajian dalam bidang pendidikan dengan pengkhususan Geografi.

“Saya berharap pencapaian saya dalam STPM dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan mengejar impian masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan