Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perkukuh Pendekatan "Whole Of Nation" Untuk Perkasa Pengurusan Biodiversiti Negara - TPM Fadillah

18/06/2026 06:26 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Pengurusan biodiversiti negara memerlukan pendekatan menyeluruh negara atau whole of nation, yang melibatkan kerjasama erat antara semua kumpulan pihak berkepentingan  bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara Keempat (MBN Ke-4), hari ini. 

“Kerjasama antara Jabatan Perhilitan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pelaksanaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) adalah antara contoh pendekatan bersepadu dalam membanteras jenayah hidupan liar dan melindungi khazanah biodiversiti negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Beliau (Fadillah) turut berharap agar semangat kerjasama yang sama terus diperkukuh dalam memastikan agenda biodiversiti negara dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” menurut kenyataan itu. 

Menurut NRES, sebanyak tiga kertas pertimbangan dan empat kertas makluman telah dibentangkan pada MBN, yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

MBN ialah platform utama bagi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membincangkan hala tuju dan strategi biodiversiti pada peringkat kebangsaan yang diurus setiakan oleh NRES.

Antara keputusan yang dipersetujui dalam MBN ke-4 adalah pembangunan Kerangka Kebangsaan Kaedah-Kaedah Lain yang Berkesan bagi Pemuliharaan Berlandaskan Kawasan, yang merangkumi kriteria, mekanisme pengiktirafan dan struktur tadbir urus OECM di Malaysia;

Turut dipersetujui ialah hala tuju mitigasi dan pengurusan populasi gajah liar di negeri Johor bagi memperkukuh usaha menangani konflik manusia dan gajah, serta usaha melestarikan Khazanah Asam Batu Negara melalui pelaksanaan aktiviti pemuliharaan spesies Begonia herveyana di Melaka.

Selain itu, MBN Ke-4 turut mengambil maklum beberapa inisiatif dan pencapaian penting dalam usaha pemuliharaan biodiversiti, termasuk Laporan Kebangsaan Ketujuh kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (7NR) dan usaha konservasi hidupan liar oleh Jabatan Perhilitan.

NRES memaklumkan Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Laporan Kebangsaan Ketujuh, yang telah berjaya dikemukakan oleh Malaysia kepada Sekretariat Konvensyen Kepelbagaian Biologi pada 28 Feb 2026.

Laporan itu adalah dokumen rasmi negara yang melaporkan kemajuan pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030, serta usaha Malaysia dalam memenuhi komitmen antarabangsa di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF).

Penyediaan laporan ini turut mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuh pelaksanaan agenda biodiversiti negara.

Laporan ini boleh diakses melalui antara muka (interface) baharu Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) menerusi www.mybis.gov.my yang turut dilancarkan hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan