Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pesanan Arwah Bapa Pembakar Semangat Raih Keputusan Cemerlang STPM

19/06/2026 08:56 PM

MELAKA, 19 Jun (Bernama) -- Pesanan terakhir arwah bapa agar tidak mensia-siakan potensi diri menjadi sumber kekuatan buat Nurfariesya Nasywa Hamedee, untuk bangkit daripada kesedihan dan meneruskan pelajaran hingga berjaya meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang diumumkan semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah berusia 21 tahun itu berkata kejayaan dicapainya merupakan hadiah istimewa untuk keluarga selepas bapanya, Hamedee Asri,43, meninggal dunia, seminggu sebelum dia menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa tahun lepas.

Katanya, pemergian bapa akibat serangan jantung pada ketika itu menyebabkannya hilang semangat hingga terfikir untuk berhenti belajar dan bekerja bagi membantu keluarga.

Ad Banner
Ad Banner

"Pesanan suruh belajar rajin-rajin yang disampaikan melalui ibu (Yusnita Ruslan) oleh arwah ayah menjadi pendorong untuk saya bangkit.

"Sejak itu, saya berazam belajar bersungguh-sungguh untuk meneruskan hasrat arwah ayah," katanya kepada pemberita selepas menerima keputusan STPM di Telok Mas di sini hari ini.

Terdahulu, Nurfariesya antara pelajar cemerlang yang diraikan sempena Pengumuman Keputusan STPM Melaka 2025 yang disempurnakan Timbalan Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata dia tidak menyangka memperoleh PNGK 4.00 kerana berdasarkan keputusan percubaan dan pengiraan awal, hanya menyasarkan pencapaian sekitar 3.92.

Beliau yang memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM berkata minat mendalam terhadap bidang syariah sejak di bangku sekolah turut mendorongnya untuk terus berusaha supaya mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Pelajar yang mengambil mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Arab, Usuluddin, Sejarah dan Syariah itu berkata dia bercita-cita menjadi peguam syariah dan berhasrat menyambung pengajian di Universiti Malaya, selain baru selesai menghadiri sesi temu duga Program Sarjana Muda di universiti tersebut.

Nurfariesya berkata tiada rahsia khusus untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran selain rajin berusaha, tidak mudah berputus asa dan sentiasa berpegang teguh kepada Allah.

Menurutnya, keputusan memilih STPM selepas SPM kerana menganggap laluan itu lebih singkat  melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah selain membuka peluang luas untuk memasuki institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, pelajar Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah Ng Zhen Hong, 20, mengharumkan nama negeri apabila dinobatkan penerima Anugerah Pelajar Terbaik Aliran Sains Peringkat Kebangsaan bagi STPM 2025.

Katanya, pencapaian itu merupakan hasil sokongan berterusan ibu bapa dan guru selain minat mendalam terhadap mata pelajaran sains, khususnya yang melibatkan pengiraan dan penyelesaian masalah.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata dia meluangkan masa sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran dan sentiasa menjadikan cabaran dalam bidang sains sebagai motivasi untuk berjaya.

Ng yang memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan SPM itu berkata dia bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia atau Kejuruteraan Elektrik di Universiti Malaya serta tidak menyangka akan muncul sebagai pelajar terbaik aliran sains peringkat kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan