LUNDU, 20 Jun (Bernama) -- Program Penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dilaksanakan di 20 lokasi di seluruh Sarawak sekali gus memudahkan penerima, khususnya golongan warga emas, uzur dan penduduk di kawasan luar bandar.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata menerusi program itu, kerajaan bukan sahaja melaksanakan proses pendaftaran dan semakan kelayakan malah turut menyalurkan bantuan secara tunai kepada penerima yang layak.
“Kita faham terdapat penerima STR tidak mempunyai akaun bank. Oleh itu, kita menyediakan kaedah lain untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada mereka.
“Terdapat juga penerima berusia atau uzur. Dalam keadaan itu, mereka boleh melantik wakil untuk hadir bagi pihak, dengan syarat mengemukakan dokumen dan bukti yang diperlukan,” katanya kepada pemberita di program itu di sini hari ini.
Amir Hamzah bagaimanapun berkata penerima STR digalakkan untuk membuka akaun bank bagi memudahkan penyaluran bantuan itu.
“Kita faham ada penerima tinggal jauh di luar bandar dan apabila perlu ke kawasan bandar ia akan melibatkan kos lain seperti tambang dan sebagainya. Jika mereka mempunyai akaun bank, proses pemindahan bantuan dapat dilakukan secara automatik,” katanya.
Amir Hamzah berkata di Sarawak, hampir 900,000 rakyat menerima manfaat daripada STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
STR adalah bantuan tunai bersasar diberikan Kerajaan MADANI bagi membantu meringankan tekanan kos sara hidup.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial