Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Pembangunan Mesti Beri Ruang Kepada Golongan Berpendapatan Sederhana, Rendah - Anwar

20/06/2026 03:28 PM

KEPALA BATAS, 20 Jun (Bernama) -- Setiap projek pembangunan yang dilaksanakan institusi berkaitan kerajaan dan syarikat swasta, mesti turut menyediakan ruang serta peluang kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pendekatan itu penting, bagi memastikan pembangunan pesat serta peningkatan pelaburan negara tidak menyebabkan jurang antara kelompok masyarakat semakin melebar.

“Dalam semua kelulusan kita, baik dalam kalangan Khazanah, PNB, KWSP dan syarikat-syarikat swasta, mesti berikan juga ruang kepada kalangan berpendapatan sederhana dan rendah.

Ad Banner
Ad Banner

“Jika tidak, kita akan lihat negara kita menghasilkan kesenjangan yang kian melebar dan ruang bagi rakyat di bawah semakin sempit,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park di Bandar Setia Fontaines, di sini hari ini.

Anwar berkata pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan tidak seharusnya hanya menghasilkan angka yang meyakinkan, tetapi perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar bagi semua lapisan masyarakat.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa menekankan kepada agensi dan institusi berkaitan supaya setiap pembangunan dirancang secara lebih seimbang dan tidak hanya menguntungkan kelompok tertentu.

Sementara itu, Anwar berkata pembangunan Setia Fontaines Industrial Park, selaras dengan usaha memastikan pertumbuhan di bahagian Seberang Perai negeri itu, bergerak seiring dengan pembangunan pesat di bahagian pulau dan selatan negeri itu.

Perdana Menteri berkata taman perindustrian berkenaan, berpotensi menawarkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, sejajar dengan peralihan industri negara daripada aktiviti bahagian belakang rantaian pengeluaran kepada segmen teknologi lebih maju.

Sehubungan dengan itu, Anwar berkata kerjasama antara pemain industri, institusi latihan teknikal dan vokasional serta universiti seperti Universiti Sains Malaysia, perlu diperkukuh bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan industri.

“Kita boleh menyediakan peluang pekerjaan profesional, tetapi kalau tidak ada yang memenuhi keperluan itu, ia akan menjadi masalah.

“Teknologi berubah dalam masa satu atau dua tahun. Sebab itu perlu ada sinergi latihan dengan institusi pendidikan dan universiti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan