MARANG, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 60,698 kelahiran warga asing Myanmar, termasuk kategori pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Pengarahnya Datuk Badrul Hisham Alias berkata selain kategori pemegang kad UNCHR, statistik daripada tahun 2000 hingga 19 Jun lepas turut merangkumi kategori warga Myanmar dan Burma.
“Jadi ini tiga kategori yang direkodkan. Bagi kategori pemegang kad UNHCR bukan semuanya merupakan etnik Rohingya, ada juga golongan-golongan lain. Namun, sebahagian besarnya adalah etnik Rohingya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Santuni MADANI Jabatan Pendaftaran Negara di Kampung Padang Tanjung, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Badrul Hisham berkata kelahiran di Malaysia bukanlah ‘lesen’ untuk seseorang anak memperoleh kewarganegaraan secara automatik, sebaliknya status itu ditentukan berdasarkan taraf dan kedudukan ibu bapanya mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terdapat kelahiran melibatkan warga asing di Malaysia yang tidak didaftarkan disebabkan pelbagai faktor, termasuk ibu bapa takut dikenakan tindakan atas kesalahan seperti tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah atau berada di negara ini tanpa permit yang sah.
“Bukan sahaja warga asing tetapi orang kita pun ada yang takut mendaftarkan kelahiran anak sebab itu kita ada kes daftar lewat lahir atas pelbagai faktor seperti perkahwinan tidak berlaku, masalah keluarga dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan dengan itu, JPN sentiasa turun padang melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi memastikan setiap warganegara Malaysia yang layak, mempunyai dokumen kelahiran dan pengenalan diri.
Terdahulu, Badrul Hisham berkata Program Santuni MADANI Jabatan Pendaftaran Negara yang diadakan pada hari ini, antara lain bertujuan mengeratkan hubungan JPN sebagai satu daripada agensi kerajaan dengan lebih 800 penduduk di kampung berkenaan.
Pelbagai acara telah diadakan kepada semua lapisan masyarakat di kampung itu, termasuk Jualan Rahmah MADANI, pertandingan sepak takraw, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, perkhidmatan membuat sijil kelahiran dan kad pengenalan serta pelbagai lagi.
“Program pada hari ini juga menerima kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang lain. Inilah komitmen daripada agensi-agensi kerajaan dalam memastikan agenda Kerajaan MADANI terlaksana,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial