BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan tambahan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA dan penerusan Dana Inovasi Media disifatkan sebagai suntikan berganda bagi memperkukuh kebajikan serta daya saing industri media di negara ini.
Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ashwad Ismail berkata pengumuman Perdana Menteri itu memberi isyarat jelas mengenai kepentingan organisasi media untuk terus berinovasi dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.
“Perubahan dunia yang dijana, dipacu dan diperkuat oleh inovasi, terutama AI memerlukan media memberikan respons dengan cepat, bersesuaian dengan keadaan semasa serta bersedia menghadapi masa depan,” katanya kepada Bernama.
Ashwad berkata Anwar memahami keperluan industri media untuk melaksanakan reformasi dan pembaharuan secara berterusan, justeru kesinambungan dana itu diyakini dapat membantu organisasi media tempatan memperkukuh keupayaan masing-masing.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Muhammad Yatimin Abdullah berkata peruntukan tambahan untuk Tabung Kasih@HAWANA itu adalah jumlah yang besar dan signifikan dalam membantu kebajikan pengamal media serta bekas pengamal media yang memerlukan.
Beliau yang juga wartawan Utusan Malaysia berkata Dana Inovasi itu mampu membantu organisasi media terus kekal berdaya saing dan utuh dalam mendepani pelbagai cabaran industri yang semakin kompleks.
Presiden Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor Wan Syamsul Amly Wan Seadey pula berkata pengumuman itu sangat bermakna, khususnya dalam membantu pengamal media terus melaksanakan inovasi bagi memastikan industri kekal relevan.
Beliau yang juga wartawan Astro Awani berkata peruntukan tambahan kepada Tabung Kasih@HAWANA juga adalah langkah yang sangat baik dalam menjaga kebajikan pengamal media, terutama wartawan sambilan yang berdepan kekangan pendapatan.
“Namun, saya ingin mencadangkan agar pada tahun hadapan, HAWANA dapat memperkenalkan dana pendidikan bagi membantu wartawan meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran masing-masing,” katanya.
Pensyarah Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang Siti Nooraeina Omar pula berkata penerusan Dana Inovasi Media yang sebelum ini menerima peruntukan RM30 juta penting bagi memastikan industri media tempatan terus relevan dalam landskap komunikasi yang semakin berubah.
Beliau berkata keadaan industri media hari ini tidak boleh dibandingkan dengan 20 tahun lepas, sebaliknya organisasi media perlu bergerak seiring dengan arus pemodenan dan memanfaatkan teknologi bagi mempercepatkan proses penghasilan berita.
“Dana itu mungkin dapat membantu mempercepatkan proses menyediakan berita tetapi seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, wartawan masih kekal sebagai pihak yang bertanggungjawab mengesahkan maklumat,” katanya.
Pada sambutan Majlis Kemuncak HAWANA 2026, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1 juta menerusi Tabung Kasih@HAWANA selain meneruskan pelaksanaan Dana Inovasi Media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial