Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Konflik Asia Barat: Kedudukan Di Kawasan Tengah Beri Kelebihan Keselamatan Kepada MALBATT

21/06/2026 03:11 PM

KOTA TINGGI, 21 Jun (Bernama) -- Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang menyertai misi pengaman di Lebanon mempunyai kelebihan daripada aspek keselamatan berikutan kedudukan operasi mereka yang terletak di kawasan tengah dan jauh dari garisan perbatasan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kedudukan taktikal itu secara langsung mengurangkan risiko pasukan negara daripada terjebak dalam sebarang pertempuran darat sekiranya berlaku pergolakan di sempadan Lubnan-Israel.

Beliau berkata kawasan berhampiran garisan perbatasan itu sebaliknya dikawal oleh pasukan pengaman dari negara lain seperti Perancis dan Indonesia.

Ad Banner
Ad Banner

"Kita memang ada kawasan yang kita jaga. Dan kelebihan kita ialah kita tidak berada di perbatasan Lubnan dan Israel, kita berada di tengah-tengah. Yang berada dekat perbatasan ialah pasukan Perancis, Indonesia, dan sebagainya.

"Dari segi itu, kita selamat kalau berlaku pertempuran darat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program pengisian minyak percuma di BHPetrol Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata pasukan negara tidak boleh leka memandangkan ancaman semasa kini beralih kepada serangan dari ruang udara.

Beliau berkata di mana-mana sahaja posisi pasukan pengaman berada, risiko terhadap serangan membabitkan aset udara seperti dron dan jet pejuang tetap wujud.

Mengulas mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) kecemasan sekiranya situasi luar jangka berlaku, Mohamed Khaled berkata arahan sedia ada menetapkan seluruh anggota MALBATT sentiasa berwaspada dan berlindung di dalam kubu (bunker) bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan