Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPKT Laksana Reformasi CCC Perkukuh Pembandaran Mampan

21/06/2026 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap rangka kerja Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta ekosistem kelulusan dan pensijilan pembangunan.

Semakan itu, antara lain bertujuan menyokong pembandaran mampan dan memastikan rangka kerja kawal selia kekal responsif.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata KPKT akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menilai secara holistik rangka kerja CCC yang mula diperkenalkan pada 2007 sebagai sebahagian daripada pembaharuan sistem kawalan bangunan. 

Ad Banner
Ad Banner

“Semakan ini akan menumpukan kepada pengurangan kerenah birokrasi, meningkatkan kecekapan melalui integrasi digital, menutup kelompangan kawal selia serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan sambil menjaga kepentingan awam,” katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Presiden PAM 2026 dan Makan Malam Tahunan ke-102, malam tadi.

Beliau berkata reformasi itu bertujuan mewujudkan rangka kerja kawal selia yang lebih telus, cekap dan mesra perniagaan, yang menyokong pembangunan berkualiti tinggi serta memudahkan pembentukan bandar yang lebih mampan.

Nga berkata sehingga kini Malaysia mempunyai lebih 500 juta kaki persegi bangunan indeks hijau, satu lagi bukti kerjasama awam-swasta dalam mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Beliau berkata Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) akan dipelawa untuk turut serta dalam proses semakan bagi memastikan kepakaran industri dan pandangan profesional turut terkandung dalam cadangan reformasi berkenaan.

Kementerian juga sedang meneliti keputusan yang membenarkan arkitek bertauliah mengemukakan permohonan perintah pembangunan bagi mengurangkan kerenah birokrasi, menjimatkan kos dan mempercepat proses.

Terdahulu, Nga menerima Anugerah Presiden PAM sebagai mengiktiraf usaha beliau memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan profesion seni bina.

Beliau merupakan penerima kelima anugerah berprestij itu dalam sejarah  102 tahun  PAM.

Pada majlis itu, Nga turut mengumumkan sumbangan RM30,000 daripada KPKT untuk Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan