Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Agong Perkenan Lapan Akta Dilulus Pada Sidang Parlimen Lepas - Speaker

22/06/2026 11:20 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan lapan akta yang diluluskan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 19 Jan hingga 3 Mac lepas.

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, sebelum sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan bermula pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Akta diperkenankan adalah Akta Perolehan Kerajaan 2025, Akta Imigresen (Pindaan) 2025, Akta Pasport (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025.

Ad Banner
Ad Banner

Seri Paduka Baginda turut memperkenankan Akta Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura 2026, Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026, Akta Kualiti Alam Sekiling (Pindaan) 2026 dan Akta Perbekalan Tambahan (2025) 2026. 

Sementara itu, Johari dalam pemasyhurannya memaklumkan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 telah dipersetujui oleh Dewan Negara, namun dengan pindaan kepada Fasal 11.

Sehubungan itu, Johari mahu pindaan tersebut terus dipertimbangkan Dewan Rakyat pada satu tarikh yang akan ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat. 

“Saya telah menimbangkan pindaan itu di bawah Peraturan Mesyuarat 73 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan saya mendapati bahawa pindaan itu menepati tujuan dewan ini dan hanya melibatkan pindaan satu fasal sahaja.

“Oleh demikian, saya dengan ini memaklumkan kepada majlis (Dewan Rakyat) akan hal itu dan memohon majlis memerintahkan supaya pindaan itu terus dipertimbangkan oleh majlis pada satu hari yang ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat,” katanya.

Sementara itu, Johari memaklumkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa dan Khamis akan dijawab oleh menteri berkenaan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Pre-Council Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu ini.  

Johari turut mengingatkan Ahli Dewan Rakyat supaya memaklumkan kepada beliau atau Setiausaha Dewan Rakyat sekiranya mereka tidak dapat hadir persidangan Parlimen atas faktor tertentu seperti urusan rasmi, isu kesihatan mahupun urusan peribadi.

“Hal ini bagi memastikan rakyat tidak menganggap Ahli-ahli Yang Berhormat ponteng semasa sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat juga menzahirkan ucapan takziah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berikutan pemergian suaminya pada Khamis lepas, selain turut mendoakan kesejahteraan Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan