Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Rai PM Bangladesh Dalam Jamuan Tengah Hari

22/06/2026 02:18 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Raja buah, durian bersama nangka yang diterbangkan khas dari Bangladesh menjadi antara hidangan pencuci mulut istimewa pada majlis makan tengah hari sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman ke Malaysia.

Jamuan tengah hari itu dihoskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu tiba menaiki kereta yang sama pada 11.50 pagi, disambut laungan “Welcome to Malaysia” oleh murid Sekolah Kebangsaan Presint 8(2), Putrajaya; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil; SMK Agama Sungai Merab; Sekolah Menengah Sains Selangor; dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

Ad Banner
Ad Banner

Sekumpulan penari dari Istana Budaya turut mempersembahkan tarian selamat datang kepada delegasi berkenaan.

Selain delegasi Tarique, majlis makan tengah hari itu turut dihadiri isterinya Dr Zubaida Rahman dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri  Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Terdahulu, Tarique diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, di sini dan mengadakan perbincangan dua hala bersama Anwar.

Tarique bersama delegasinya tiba di sini malam tadi bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia atas jemputan Anwar, yang juga lawatan rasmi dua hala pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari 2026.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, lawatan Tarique dijangka terus memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat antara kedua-dua negara, selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama.

Pada 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion), dengan eksport Malaysia ke negara itu bernilai RM10.08 bilion (USD2.35 bilion), didominasi produk petroleum.

Import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.10 bilion (USD500 juta), membabitkan tekstil, pakaian dan kasut.

Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global, selain rakan dagang kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India, termasuk sebagai destinasi eksport dan sumber import utama. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan