Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Guna Pendekatan Dua Lapis Tangani Salah Guna Kandungan, Gubal Ruu Tadbir Urus AI - Gobind

22/06/2026 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan menerapkan pendekatan dua lapis dalam penggunaan undang-undang sedia ada untuk mendakwa pihak yang menyalahgunakan kandungan serta penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI).

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata langkah itu bertujuan memperkukuh lagi pencegahan dan akauntabiliti sepanjang kitar hayat teknologi itu selain untuk memastikan risiko teknologi berkeupayaan tinggi seperti palsu tulen atau deepfake, kandungan sintetik dan manipulasi identiti dapat dikawal lebih awal.

“Strategi berlapis ini memastikan tindakan undang-undang sedia ada dan RUU Tadbir Urus AI saling melengkapi dalam mengimbangi inovasi dan kawalan risiko sistem.

Ad Banner
Ad Banner

“Langkah proaktif ini amat penting bagi memacu pemanfaatan AI secara bertanggungjawab, tanpa mengkompromi keselamatan awam, kepentingan negara, serta perlindungan menyeluruh terhadap hak mangsa, maruah individu dan kanak-kanak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu sama ada RUU Tadbir Urus AI yang sedang digubal akan menangani secara jelas penyalahgunaan AI termasuk penghasilan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak berbentuk deepfake, penyamaran identiti dan penyebaran kandungan intim tanpa persetujuan.

Menjawab soalan tambahan Wong mengenai sekiranya RUU Tadbir Urus AI adalah untuk menetapkan satu kerangka industri pembangunan AI di Malaysia, Gobind berkata RUU yang sedang digubal itu bukan sahaja bertujuan menangani risiko penyalahgunaan teknologi itu, malah mewujudkan kerangka bagi memastikan sistem AI dibangunkan secara selamat sejak peringkat awal.

Beliau berkata pendekatan itu melengkapi usaha memperkukuh undang-undang sedia ada bagi menangani ancaman baharu yang timbul akibat penggunaan AI termasuk ekspoitasi kanak-kanak, serangan seksual dan kandungan yang melanggar undang-undang.

“Kita kena lihat AI secara keseluruhan. AI adalah satu yang merangkumi semua sektor. Jadi kita kena lihat bagaimana kita boleh mengawal selia prosesnya daripada permulaan sehingga akhir misalnya kandungan yang dikeluarkan perlu kita tangani sekiranya ia melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sekiranya rangka RUU Tadbir Urus AI itu memberi tumpuan penuh kepada kedaulatan AI, Gobind berkata pembangunan ekosistem AI yang selamat memerlukan pendekatan menyeluruh bagi menangani sebarang pelanggaran undang-undang yang berpunca daripada penggunaan teknologi itu.

 Beliau berkata kerajaan juga memberi tumpuan kepada aspek keselamatan model AI termasuk perlindungan data serta penilaian terhadap produk yang dihasilkan sebelum ia digunakan.

“Jadi kita perlu bangunkan ekosistem. Undang-undang sedia ada yang sudah kita laksanakan sejak lama boleh kita perketatkan, kita perkembangkan untuk merangkumi semua ini dan kita membawa pembaruan yang diperlukan supaya bukan sahaja AI tapi teknologi baharu itu dapat kita tangani,” katanya.

Selain itu, katanya, model yang dibangunkan juga harus selamat dan terjamin dari segi keselamatan data dan sebagainya dan hasil produk perlu dapat dinilai dan diteliti sebelum dikeluarkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan