IPOH, 22 Jun (Bernama) -- Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) merancang memperluaskan Projek Wakaf Mesin Dobi Layan Diri ke empat lokasi baharu tahun ini bagi memastikan manfaat wakaf dapat dinikmati masyarakat di setiap zon di Perak.
Pengurus Besar ZAPAR Ahmad Nazim Md Tajuri berkata empat lokasi itu ialah Kerian bagi zon utara, Bidor (selatan), Kati (timur) dan Teluk Intan (barat) dengan pelaksanaan projek bergantung kepada kutipan wakaf yang diterima.
“Kami akan cuba melaksanakan keempat-empat projek itu tahun ini dan kami mahu melihat projek wakaf ini berkembang ke kawasan utara, selatan dan luar bandar.
“Jika tidak dapat dilaksanakan serentak, mungkin satu atau dua projek akan dibangunkan terlebih dahulu sebelum baki projek diteruskan pada awal tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Wakaf Mesin Dobi Layan Diri di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh pada program ZAPAR Care Tour (ZACT) 2.1 (Ipoh) di sini hari ini.
Ahmad Nazim berkata projek rintis Wakaf Mesin Dobi Layan Diri di masjid itu mula dibangunkan pada Disember 2025, siap sepenuhnya Mac 2026 dan memulakan operasi pada bulan berikutnya.
“Projek ini menyediakan empat mesin basuh dan empat mesin pengering serta dibangunkan bagi memenuhi keperluan komuniti setempat, khususnya waris pesakit yang menjaga ahli keluarga di Hospital Raja Permaisuri Bainun, pelajar institusi pengajian tinggi dan penduduk sekitar.
“Wakaf Mesin Dobi Layan Diri antara inisiatif di bawah Projek Wakaf Perak Al Ridzuan yang bertujuan menyediakan kemudahan dobi kepada masyarakat selain menjana pendapatan wakaf produktif untuk institusi masjid, dengan anggaran kos kira-kira RM300,000 bagi setiap projek,” katanya.
Sementara itu, Imam 1 Masjid Muhibbuddin Shah, Muhammad Nasir Hassan berkata kemudahan berkenaan turut memberi manfaat kepada penghuni 10 unit kamar musafir di masjid itu, yang sebelum ini terpaksa menghantar pakaian ke kedai dobi di luar.
“Kemudahan ini turut digunakan oleh masyarakat setempat termasuk pelajar Universiti Kuala Lumpur dan pengguna lain di sekitar kawasan berkenaan selain menjana pendapatan bagi pengurusan masjid.
Beliau berkata purata kutipan ketika ini kira-kira RM3,000 sebulan dan sebahagian daripada jumlah itu digunakan bagi menampung kos operasi seperti bil elektrik, bil air, pengurusan serta perbelanjaan lain yang berkaitan.
“Alhamdulillah, jumlah pengguna semakin meningkat dan kami berharap kutipan juga akan terus bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial