Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

HKN'26 Tampil 150 Reruai, Sasar Kehadiran Lebih 10,000 Pengunjung

22/06/2026 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung pada sambutan Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Julai ini.

Pengerusi SKM Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata penganjuran edisi kali ini yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang direka dengan pendekatan lebih segar, inklusif serta mesra rakyat bagi memperlihatkan peranan gerakan itu sebagai pemangkin ekonomi komuniti.

“Koperasi bukan hanya satu gerakan yang memacu pertumbuhan ekonomi tetapi inilah antara gerakan yang boleh memacu kesepaduan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran HKN’26 di Menara SKM di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut menggalakkan penyertaan golongan belia bagi melihat sendiri gerakan koperasi yang mampu membuka peluang dalam bidang keusahawanan, ekonomi dan pembangunan komuniti.

Sementara itu, SKM dalam kenyataan memaklumkan acara kemuncak HKN'26 pada 4 Julai dijangka dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Menurut SKM, dua anugerah khas baharu diperkenalkan pada acara kemuncak, iaitu Anugerah Khas Menteri: Koperasi Lestari dan Anugerah Khas Menteri: Koperasi Komuniti, yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada koperasi yang sedang berkembang pesat serta menunjukkan potensi besar menjadi peneraju dalam sektor masing-masing.

Bertemakan “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI”, karnival tiga hari itu tampil dengan skala lebih besar menerusi penyertaan 150 reruai jualan dan pameran yang melibatkan sektor ekonomi, pendidikan, teknologi, pelancongan, makanan, keusahawanan dan perkhidmatan awam.

Menurut SKM, pelbagai reruai gerakan koperasi akan menjadi tunjang utama pameran, antaranya Pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama sembilan agensinya serta Pavilion SKM yang menawarkan khidmat nasihat, kemudahan geran dan pembiayaan.

HKN’26 juga dimeriahkan dengan empat reruai khas Jualan MADANI Koperasi yang menawarkan penjimatan sehingga 40 peratus bagi pelbagai barangan keperluan asas dan produk koperasi.

Selaras dengan keperluan pembangunan modal insan negara, HKN’26 turut menampilkan reruai Jom Masuk Universiti, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kecerdasan buatan selain reruai Jom Cari Kerja (MYFutureJobs).

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan popular seperti laksa Penang, laksa Johor, laksa Kedah, laksa Sarawak, laksa Kelantan dan laksa Perlis menerusi Festival Warisan Laksa @ HKN’26 yang menjadi antara kelainan penganjuran kali ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan