Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penurunan Harga Diesel Dijangka Kurangkan Kos Logistik, Turunkan Harga Barangan - Pakar

22/06/2026 06:07 PM

Oleh Nur Nadzmi Nasirah Mohamad Nasir dan Rozainah Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai ini dijangka dapat mengurangkan harga barangan susulan penurunan kos logistik dan pengangkutan.

Profesor Ekonomi Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Nanthakumar Loganathan berkata kebanyakan sektor rantaian bekalan makanan asas khususnya yang terlibat dengan kos operasi, menggunakan bahan api berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Sepatutnya langkah ini memberi berita baik kepada rantaian perniagaan kerana rata-rata mengatakan kos bahan api menjadi alasan bagi mereka menaikkan harga barangan.

“Kita harap pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi ini memberi kesan kepada pengguna lain kerana sepatutnya harga barang di pasaran yang berasaskan pengangkutan menggunakan diesel seperti sayuran, yang menggunakan kenderaan pikap turut berkurang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap persatuan peniaga di negara ini memberi respon positif terhadap penurunan harga diesel yang banyak memberi penjimatan perbelanjaan berbanding kos yang perlu ditanggung oleh mereka sebelum ini.

Ditanya sama ada kadar RM2.10 seliter itu dapat dikekalkan sekiranya harga minyak dunia kembali meningkat, beliau berkata kerajaan perlu berusaha mendapatkan tambahan peruntukan bekalan supaya rakyat terus menikmati pemberian subsidi bahan api melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

“Kita tidak boleh menjangka perkara yang akan berlaku dan kerajaan mungkin boleh mencari sumber atau jaminan bekalan seperti dari Rusia atau negara selain negara-negara Arab,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter bermula Julai dan dilaksanakan selaras dengan pendekatan yang digunakan melalui program BUDI95, iaitu dengan pengesahan melalui MyKad.

Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung.

Sementara itu, seorang pakar berpandangan penyelarasan harga diesel bersubsidi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak merupakan satu langkah yang mencerminkan usaha kerajaan untuk mewujudkan keseragaman dasar subsidi bahan api di peringkat nasional.

Profesor Sosiologi Politik Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Novel Lyndon berkata hal ini kerana perbezaan harga diesel antara Sabah-Sarawak dan Semenanjung telah mewujudkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat serta peningkatan kos operasi, yang akhirnya dibebankan kepada pengguna.

Beliau berkata dari perspektif ekonomi dan tadbir urus awam langkah ini boleh dilihat sebagai usaha mengurangkan ketirisan subsidi serta memastikan manfaatnya lebih tertumpu kepada kumpulan sasaran yang benar-benar memerlukan.

"Sebelum ini, Sabah dan Sarawak menikmati harga diesel yang lebih rendah berbanding Semenanjung kerana faktor geografi, kos logistik dan kebergantungan yang lebih tinggi terhadap pengangkutan darat serta sungai.

“Oleh itu, penyelarasan ini memberi mesej bahawa kerajaan sedang bergerak ke arah sistem subsidi yang lebih standard dan berasaskan keperluan rakyat berbanding pendekatan wilayah semata-mata," katanya.

Bagaimanapun, Novel berkata kesan pelaksanaan dasar ini perlu dinilai secara berhati-hati, khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai struktur ekonomi serta cabaran pembangunan yang berbeza daripada Semenanjung Malaysia. 

"Banyak kawasan luar bandar masih bergantung kepada pengangkutan diesel untuk aktiviti pertanian, perikanan, pengangkutan barang dan pergerakan harian.

“Sekiranya mekanisme bantuan atau subsidi bersasar tidak dilaksanakan dengan berkesan, peningkatan kos operasi boleh memberi tekanan kepada penduduk luar bandar dan perusahaan kecil. Ini akan meningkatkan kos sara hidup," katanya.

Dari sudut sosial, Novel berkata kerajaan perlu memastikan komunikasi dasar dilakukan secara jelas dan telus serta sampai kepada rakyat kerana mereka bukan sahaja menilai kadar harga diesel, tetapi juga ingin melihat bagaimana penjimatan hasil rasionalisasi subsidi akan dikembalikan dalam bentuk pembangunan infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan bantuan kos sara hidup.

"Kejayaan dasar ini akhirnya bergantung kepada sejauh mana rakyat dapat merasakan manfaat langsung daripada penjimatan yang diperoleh kerajaan. Hal ini adalah merupakan perkara yang sangat penting yang akan membina naratif tentang kejujuran kerajaan dalam membantu rakyat yang memilih mereka sebagai kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah kerajaan untuk menggunakan MyKad sebagai mekanisme utama bagi pengagihan subsidi diesel adalah pendekatan penting dalam memperkukuh keberkesanan sistem subsidi negara.

Beliau berkata penggunaan MyKad sebagai medium pengesahan penerima subsidi bukan sahaja dapat memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar, malah membantu mengurangkan ketirisan yang sering berlaku dalam sistem sedia ada.

Katanya, pengalaman pelaksanaan penggunaan MyKad bagi subsidi RON95 sebelum ini menunjukkan bahawa mekanisme tersebut mampu berfungsi dengan baik dan mempunyai potensi untuk diperluaskan kepada penggunaan diesel pula.

“Pendapat saya langkah ini penting terutamanya apabila ia melibatkan penggunaan MyKad sebagai mekanisme utama bagi pengagihan subsidi Diesel. Saya percaya pengalaman penggunaan MyKad bagi RON95 yang telahpun berjaya dilaksanakan akan diguna pakai bagi diesel. 

"Perkara ini membolehkan bantuan lebih bersasar disamping dapat mengumpul data penggunaan bahan api secara tepat dan menyeluruh serta dapat mematahkan kegiatan jenayah seperti penyeludupan bahan api tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan