SHAH ALAM, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM1.5 juta bagi Program Kerjaya Selangor untuk mempercepatkan pemadanan pekerjaan dan membantu golongan yang kehilangan kerja mendapat peluang kerjaya baharu.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 12,355 kes kehilangan kerja dilaporkan sejak awal tahun hingga 12 Jun, namun 11,347 sudah mendapat pekerjaan.
“Data ini menunjukkan cabaran perlu ditangani bukan semata-mata kekurangan peluang pekerjaan tetapi bagaimana memastikan pencari kerja dapat dipadankan semula dengan peluang yang tersedia dengan lebih cepat dan berkesan.
“Program Kerjaya Selangor juga akan memperkukuh latihan peningkatan kemahiran dan membantu rakyat memperoleh pekerjaan lebih berkualiti serta berpendapatan lebih baik. Matlamat negeri jelas, iaitu memastikan rakyat yang kehilangan pekerjaan tidak dibiarkan berdepan cabaran bersendirian, sebaliknya dibantu untuk kembali bekerja dan menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, merangkumi 15 inisiatif dengan peruntukan RM209.26 juta sebagai langkah strategik mendepani krisis tenaga global susulan situasi di Asia Barat.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang digariskan itu bukan hanya bantuan berbentuk tunai tetapi turut melibatkan langkah-langkah pemerkasaan ekonomi secara holistik, agar hasil yang diperoleh negeri berkenaan dapat dimanfaatkan oleh keseluruhan masyarakat.
Sidang DUN Khas ditangguhkan sehingga 10 pagi esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial