SHAH ALAM, 23 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk menyemak semula semua fasiliti keterhubungan melibatkan pengangkutan awam di Selangor, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata kerajaan negeri bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan tambahan bagi memastikan fasiliti seperti laluan pejalan kaki yang selesa dan selamat dapat disediakan kepada masyarakat.
Katanya perkara berkenaan perlu dilihat secara serius dan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dilakukan malah dapat membantu hasrat mobiliti negeri untuk meningkatkan kadar penggunaan kenderaan awam.
“PBT perlu proaktif untuk menangani ini dan bukan tunggu laporan di X, Threads atau media sosial yang lain sebaliknya mendengar pandangan rakan-rakan ahli majlis dan semua pihak agar kita dapat menyusun ketersambungan peringkat awal dan peringkat akhir (dengan lebih efisien),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Batu Tiga) pada penggulungan pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Dalam celahannya, Danial Al-Rashid membangkitkan masalah keterhubungan antara pengangkutan awam khususnya LRT3 dan kawasan sekitar yang tular di media sosial.
Amirudin berkata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han akan diarahkan untuk berhubung dengan semua pengendali kenderaan awam di Selangor untuk membuat satu pemetaan perkhidmatan agar dapat mengenal pasti kawasan yang lompong.
“Kita akan keluarkan subsidi tetapi kalau pengendali masih beroperasi dengan kelompongan tersebut ia tidak akan memberi manfaat, kerana orang akan pilih kenderaan peribadi kerana aksesibiliti dan masa mereka untuk pergi satu lokasi ke satu lokasi dapat dimanfaatkan. Ia bukan hanya soal kos, tetapi masa adakah ia mencukupi atau ikut aturan.
“Saya cakap kepada ADUN Kinrara (Ng Sze Han) panggil semua pengendali dan atasi kelompongan itu dan kita boleh bantu dengan subsidi yang kita berikan. Subsidi itu mungkin kurangkan kos mereka tetapi kalau waktu mereka tidak terurus mereka tidak akan dapat manfaat daripada itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial