PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) menanam 3,750 benih karang generasi pertama di kawasan Terumbu Layang-Layang, Sarawak meliputi kawasan seluas 5,000 meter persegi sempena sambutan Minggu Laut Sedunia 2026, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pemulihan ekosistem marin negara.
Ketua Pengarah DOF Datuk Adnan Hussain berkata bagi menyokong usaha pemulihan habitat marin, sebanyak 600 unit nubin karang turut dipasang di Pulau Redang bagi membantu proses pemulihan kawasan terumbu karang yang terjejas.
"Usaha pemuliharaan marin memerlukan komitmen berterusan serta kerjasama pelbagai pihak, memandangkan ekosistem laut memainkan peranan penting dalam menyokong sumber perikanan, kesejahteraan komuniti pesisir pantai serta keseimbangan alam sekitar.
"Program yang dilaksanakan sempena Minggu Laut Sedunia ini memberi ruang untuk memperkukuh pelbagai inisiatif pemuliharaan yang sedang dilaksanakan oleh DOF bersama rakan strategik dan komuniti setempat. Setiap usaha yang dilaksanakan, sama ada dalam aspek pemulihan habitat, perlindungan spesies marin mahupun peningkatan kesedaran awam, merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan bagi memastikan kelestarian sumber dan ekosistem marin negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata DOF turut meneruskan pelaksanaan Projek Benteng Biru melalui pemasangan 1,600 meter boya zon pemuliharaan ekosistem serta 37 unit boya penambat bot di Pulau Perhentian, Terengganu bagi melindungi kawasan sensitif marin daripada kerosakan fizikal.
"Dalam aspek konservasi spesies marin terancam, sebanyak 790 anak penyu termasuk penyu karah telah dilepaskan ke habitat semula jadi di Terengganu, Johor dan Melaka. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi menyokong pemuliharaan spesies marin yang dilindungi serta meningkatkan kelangsungan populasi penyu di perairan negara," katanya.
Adnan berkata pelbagai program pemuliharaan marin dilaksanakan sepanjang Minggu Laut Sedunia 2026 dengan kerjasama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat bagi memastikan pengurusan sumber perikanan dan ekosistem marin negara terus terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial