Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

INSKEN, UiTM Perkasa Usahawan Masa Hadapan Melalui Himpunan Lebih 6,500 Peserta SUM Mega

23/06/2026 04:47 PM

SHAH ALAM, 23 Jun (Bernama) -- Seminar Usahawan MADANI Mega (SUM MEGA) 2026 berjaya menghimpunkan 6,877 peserta secara fizikal dan dalam talian, sekali gus melakar pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori penyertaan pelajar terbesar dalam seminar keusahawanan. 

Program anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) dengan kerjasama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM), menghimpunkan mahasiswa UiTM dari seluruh negara menerusi pelbagai sesi perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti dan jaringan strategik keusahawanan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata pencapaian itu mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap bidang keusahawanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara serta laluan kerjaya masa depan generasi muda.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata keusahawanan kini bukan lagi sekadar pilihan kerjaya, malah menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dalam menghadapi landskap ekonomi yang semakin kompetitif.

Mohamad berkata Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkukuh ekosistem pembangunan usahawan yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi melalui pelbagai inisiatif melibatkan pembangunan kapasiti, pembiayaan, akses pasaran, pendigitalan serta sokongan pembangunan perniagaan.

“Usahawan memainkan peranan penting dalam mencipta peluang pekerjaan, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, memacu inovasi dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara,” katanya ketika menghadiri program itu di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN merangkap Ahli Lembaga Pengarah UiTM Datuk Mustaffa Kamil Ayub berkata sambutan memberangsangkan terhadap SUM MEGA 2026 mencerminkan perkembangan positif budaya keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda.

“Keusahawanan perlu dilihat bukan sekadar sebagai satu pilihan kerjaya, tetapi sebagai satu cara berfikir, budaya dan gerakan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam seminar itu, peserta turut didedahkan kepada pelbagai perkongsian praktikal menerusi pendekatan MOFA yang memberi penekanan kepada aspek pemasaran, operasi, kewangan dan pentadbiran perniagaan bagi membantu meningkatkan daya tahan serta daya saing usahawan.

SUM MEGA 2026 antara inisiatif penting dalam membudayakan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan graduan bagi melahirkan generasi usahawan, inovator, pencipta pekerjaan serta pemimpin industri masa hadapan.

Bagi menyokong agenda itu, INSKEN terus melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan termasuk INSKEN Masterclass, BANGKIT dan PROTÉGÉ - Jaguh Keusahawanan Mahasiswa yang menyediakan latihan, bimbingan serta peluang pembangunan perniagaan kepada golongan belia dan graduan.

Selain itu, SUM MEGA 2026 turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, industri, institusi kewangan, agensi pembangunan usahawan dan komuniti perniagaan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan, berdaya saing dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan