Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelaksanaan BDR Jimat RM5.98 Juta Subsidi Petrol Setakat Hari Ini - KSN

23/06/2026 03:48 PM

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) berjaya menjimatkan RM5.98 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 3.13 juta liter setakat ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menerusi catatan di laman Facebook rasminya, beliau berkata data terkini itu direkodkan hingga hari ini sejak pelaksanaan inisiatif itu bermula 15 April lepas, sekali gus membantu kerajaan menangani bebanan kewangan ekoran daripada krisis bekalan global.

“Dalam Mesyuarat Kerajaan Digital yang saya pengerusikan pagi ini, saya turut dimaklumkan sistem pemantauan operasi tugas iaitu aplikasi SPOT-Me, yang merekodkan kehadiran serta catatan tugasan harian telah berjaya berfungsi sebagai mekanisme kawalan digital bagi memastikan integriti perkhidmatan awam kekal terpelihara,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Pada 26 Mei lepas, media melaporkan kerajaan berjaya menjimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter.

Pada mesyuarat itu juga, Shamsul Azri berkata beliau turut dimaklumkan bahawa Malaysia telah berada pada kedudukan ke-13 dunia dalam faktor Infrastruktur Teknologi dalam laporan Indeks Daya Saing Global 2026 yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) baru-baru ini.

“Pencapaian ini adalah lonjakan berganda berbanding kedudukan ke-25 tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata tumpuan kerajaan pada masa depan adalah memperkukuh kedaulatan data, adaptasi kecerdasan buatan (AI) yang selamat, integrasi MyDigital ID serta pentadbiran tanpa kertas yang lebih cekap bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat memberi nilai sebenar seiring aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan