Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dua RUU Di Bawah KPDN Berkaitan Persaingan Dibentang Untuk Bacaan Kali Pertama

23/06/2026 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 dan RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika membentangkan dua RUU itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada sesi persidangan kali ini.

Menurut naskhah RUU Persaingan (Pindaan) 2026 yang dipaparkan di portal Parlimen hari ini, RUU itu bertujuan meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bagi mengukuhkan pelbagai aspek termasuk peruntukan berhubung kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Ad Banner
Ad Banner

RUU itu juga bertujuan mengukuhkan tatacara membuat keputusan oleh MyCC dan peruntukan yang mentadbir Tribunal Rayuan Persaingan.

Menurut RUU itu, Fasal 3 meluaskan ruang lingkup pemakaian Akta 712 kepada apa-apa aktiviti ekonomi dan tidak lagi terhadap aktiviti komersial sahaja.

Selain itu, Fasal 7 mencadangkan MyCC berkuasa untuk memperoleh maklumat atau dokumen bagi menjalankan kajian semula pasaran di bawah Akta 712 daripada mana-mana orang yang dipercayai atau entiti kerajaan.

Menurut Fasal 13 pula, adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang dengan sengaja memusnahkan, menyembunyikan, mencacatkan atau mengubah data atau apa-apa bahan lain untuk menipu MyCC atau untuk menghalang, menangguhkan atau menggalang siasatan dan pelaksanaan kuasa suruhanjaya itu.

Susulan cadangan pindaan kepada Akta 712, pindaan juga akan dibuat pada Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 713).

Menurut naskhah RUU itu, Fasal 8 menjelaskan lagi fungsi MyCC dalam menasihati menteri, pihak berkuasa awam atau pihak berkuasa pengawalseliaan yang lain mengenai perkara berkenaan persaingan termasuk memberi nasihat tentang polisi, tatacara dan program berkaitan persaingan.

Fasal 10 pula memperuntukkan MyCC boleh mewakilkan mana-mana fungsi atau kuasanya kepada pengerusi, mana-mana jawatankuasa, pegawai atau pekerja suruhanjaya itu.

Selain itu, Subfasal 12(a) mencadangkan pelantikan pegawai MyCC boleh dibuat oleh suruhanjaya itu sendiri atas syor ketua pegawai eksekutif, yang bertujuan meningkatkan lagi ketelusan dan tanggungjawab dalam pelantikan pegawai suruhanjaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan