Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan MADANI Perkukuh Usaha Dekati Rakyat Menerusi Ziarah Kasih

23/06/2026 06:31 PM

MERSING, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan MADANI komited memperkukuh usaha mendekati rakyat menerusi program Ziarah Kasih, yang antara lain bertujuan menyampaikan bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi Abdullah Izhar Mohamed Yusof berkata pendekatan itu mencerminkan iltizam untuk merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat, sekali gus membantu meringankan beban yang dihadapi.

"Inisiatif ini merupakan usaha berterusan kerajaan dengan penerima dikenal pasti daripada Jabatan Penerangan serta Komuniti MADANI dan akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita pada Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai Edisi Piala Dunia di Endau, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata program itu akan diteruskan secara berkala sebagai usaha memastikan kebajikan masyarakat terus terpelihara, bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan keprihatinan terhadap rakyat.

Abdullah Izhar turut meluangkan masa menyantuni warga emas yang berdepan masalah kesihatan dan menyampaikan sumbangan serta peralatan kesihatan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

Antara penerima ialah Hamdan Abd Latif, 71, yang kini terlantar akibat penyakit angin ahmar dan diuruskan sepenuhnya oleh isterinya, Meriam Abd Wahab.

Sementara itu, Meriam, 66, berkata beliau bersyukur atas bantuan yang diterima kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang dihadapi.

Beliau berkata suaminya yang juga pesara bomba terjatuh ketika sedang memancing udang pada 2011, kira-kira dua minggu sebelum dijadualkan bersara wajib dan pemeriksaan doktor mengesahkannya mempunyai ketumbuhan pada otak serta terpaksa menjalani pembedahan.

Meriam berkata Hamdan kemudiannya disahkan bebas daripada ketumbuhan namun kesan penyakit itu menjejaskan kesihatan suaminya secara perlahan-lahan sebelum diserang strok selepas terjatuh di tandas, tahun lepas.

"Dulu saya menjahit bagi menambah pendapatan keluarga, namun kini saya tidak lagi dapat berbuat demikian kerana sepenuh masa ditumpukan untuk menjaga suami," katanya.

Seorang lagi penerima, Zainon Ibrahim, 91, pula dijaga oleh anaknya, Jamaluddin Ismail, 64, yang sanggup mengambil keputusan berhenti kerja demi menjaga ibunya kira-kira dua tahun lepas, selain dibantu adik-beradik lain.

"Terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap kami, sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung barangan keperluan emak," kata Jamaluddin yang sebelum ini bertugas sebagai penyelia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan