Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MBMB Siasat Lelaki Hulur Ular Dalam Kereta Pengunjung

24/06/2026 12:37 PM

MELAKA, 24 Jun (Bernama) -- Tindakan seorang lelaki yang didakwa menghulurkan seekor ular ke dalam sebuah kereta di kawasan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir yang tular di media sosial sedang disiasat pihak berkuasa.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu dan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan kerana terdapat risiko kepada pengunjung yang berada di kawasan tumpuan pelancongan itu. 

Terdahulu, seorang pengguna media sosial Nik Hanis Allysa Abdullah, 21, memuat naik video berdurasi 54 saat yang memaparkan seorang lelaki membawa ular menghampiri kenderaan yang dinaikinya sebelum didakwa cuba memasukkan reptilia itu ke dalam kereta melalui tingkap yang terbuka.

Ad Banner
Ad Banner

Nik Hanis berkata kejadian berlaku kira-kira 11 malam Isnin lepas ketika beliau bersama seorang rakan dan adiknya berhenti di hadapan bangunan bersejarah itu.

Beliau berkata pada mulanya menyangka lelaki terbabit sekadar bergurau, namun keadaan menjadi cemas apabila ular itu ditolak ke arah bahagian dalam kenderaannya meskipun beberapa kali diminta supaya menghentikan perbuatan itu.

“Ketika itu, saya baru pulang kerja dan berada dalam keadaan penat. Saya sudah beberapa kali meminta lelaki itu supaya tidak memasukkan ular ke dalam kereta, namun dia tetap berbuat demikian sehingga menyebabkan saya menangis,” katanya ketika dihubungi media. 

Nik Hanis berkata akibat panik, beliau membuka pintu kereta dan cuba mengelak daripada ular itu sehingga terlupa kenderaan yang dipandunya masih berada dalam mod pemanduan (D) dan menyebabkan kereta bergerak ke hadapan ketika sebelah kakinya berada di luar.

Beliau berharap tindakan sewajarnya dapat diambil kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja menakutkan orang awam, malah berpotensi mengundang kemalangan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Halim Abas ketika dihubungi mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tular itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan