Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KUSKOP Rangka Pelan Strategik PMKS 2030, Bantu Usahawan Digital Tempatan Bersaing

24/06/2026 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah merangka Pelan Strategik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2030 bagi mendepani cabaran pasaran digital, termasuk persaingan kos operasi daripada peniaga luar negara.

Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin berkata pelan itu bertujuan mentransformasikan usahawan PMKS tempatan ke arah ekosistem perniagaan yang lebih mampan, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan trend baharu dan cabaran luar jangka.

Beliau berkata kementerian menyedari kekangan kos operasi yang dihadapi oleh usahawan digital tempatan, dan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif serta platform digital bagi meningkatkan akses pasaran mereka secara percuma.

Ad Banner
Ad Banner

“Antaranya, KUSKOP telah memperkenalkan platform MyMall pada 2022, yang menyediakan ruang pemasaran e-dagang secara dalam talian tanpa sebarang caj premis kepada usahawan tempatan dan koperasi.

“Sehingga 31 Mei lepas, sebanyak 5,776 peniaga telah mendaftar di bawah MyMall dengan mencatatkan nilai jualan terkumpul berjumlah RM24.5 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mewujudkan dasar atau mekanisme perlindungan khusus bagi membantu usahawan digital tempatan meningkatkan produktiviti berbanding penjual luar negara yang menikmati kelebihan kos operasi.

Mohamad berkata bagi memperkasakan keupayaan usahawan tempatan pada platform antarabangsa, KUSKOP menerusi Tekun Nasional turut menjalinkan kerjasama strategik dengan TikTok Shop bagi menyediakan kemudahan studio penstriman langsung.

Beliau berkata sebanyak 1,054 usahawan digital tempatan telah memanfaatkan kemudahan berkenaan dan berjaya menjana nilai jualan mencecah RM35 juta.

“Selain itu, agensi di bawah kementerian seperti Bank Rakyat turut membantu mendigitalisasikan 627 usahawan luar bandar menerusi program Jajahan Rakyat dengan peruntukan pembiayaan sebanyak RM610.6 juta bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam era ekonomi digital,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan