Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NPE 2 Guna Sistem Tol Tanpa Palang, Kurangkan Kesesakan Waktu Puncak

24/06/2026 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE 2) akan menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) apabila siap sepenuhnya bagi mengurangkan kesesakan trafik, terutama pada waktu puncak.

Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM Corporation Berhad (IJM) Chua Lay Hoon berkata projek yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029 itu melibatkan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer (km) atau 15 km keseluruhan termasuk tanjakan dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana di sini.

“Sekiranya MLFF belum dilaksanakan selepas projek ini siap, peralihan kepada sistem tol lain boleh dilakukan dengan perubahan pada peralatan kutipan tol tanpa memerlukan pengubahsuaian besar,” katanya pada Taklimat Khas Projek Sambungan NPE 2 bersama media di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata projek yang bernilai RM1.7 bilion itu kini berada pada tahap kemajuan kira-kira enam peratus yang merangkumi kerja reka bentuk dan pemodelan dengan kerja fizikal di tapak pembinaan dimulakan bulan lepas.

Chua berkata projek sambungan lebuh raya itu memperkukuh rangkaian lebuh raya bersepadu di Lembah Klang menerusi jaringan yang lebih baik antara NPE, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan cadangan Lebuhraya Istana-Kiara (LIKE) selaras aspirasi Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040.

Chua ketika mengulas mengenai pengurusan trafik semasa kerja pembinaan berkata Pelan Pengurusan Trafik (TMP) komprehensif akan dilaksanakan sepanjang tempoh itu bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk pemantauan trafik secara masa nyata, penyelarasan bersama agensi berkaitan, penutupan serta lencongan jalan secara berjadual yang hanya dilakukan di luar waktu puncak atau waktu malam selain penyediaan pasukan pengurusan trafik khusus.

“Keselamatan pengguna jalan raya, pekerja pembinaan dan komuniti berhampiran kekal menjadi keutamaan sepanjang tempoh pembinaan di samping meminimumkan gangguan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan