IPOH, 24 Jun (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyasarkan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) menjadi pusat rujukan pendidikan tahfiz yang berperanan besar di peringkat nasional, Nusantara dan antarabangsa dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam negara.
Ahli Lembaga Pengarah UPSI Prof Dr Azmi Mohamad berkata aspirasi itu selaras dengan penaiktarafan Jabatan Pendidikan Islam (JPI) kepada i-Furqan yang diumumkan secara rasmi tahun ini.
Beliau berkata i-Furqan tidak seharusnya berfungsi sebagai sebuah jabatan akademik biasa, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam dan institusi tahfiz negara.
“Kami mahu melihat i-Furqan melangkah lebih jauh. Peranannya bukan sahaja di UPSI tetapi juga di peringkat nasional.
“Kami mahu melihat bagaimana i-Furqan boleh membantu memperkasa dasar pendidikan tahfiz negara serta menjadi pusat rujukan yang dicontohi bukan sahaja di Malaysia malah di Nusantara dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Budiman Prof Dr Mohamad Rozaimi Ramle yang berlangsung di Dewan Konvensyen Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI di Tanjong Malim hari ini.
Azmi berkata UPSI turut mendokumentasikan setiap fasa pembangunan i-Furqan, termasuk pembinaan bangunan baharunya sebagai sebahagian daripada usaha membina legasi institusi itu untuk generasi akan datang.
“Kami mahu melihat di mana kedudukan i-Furqan dalam tempoh 30 tahun akan datang dan sumbangannya kepada masyarakat serta negara,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi turut merakamkan penghargaan kepada Mohamad Rozaimi atas sumbangan besar dalam bidang fiqah dan usul fiqah yang mendapat pengiktirafan di peringkat nasional serta antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama UPSI.
Beliau berkata pelantikan Mohamad Rozaimi sebagai Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) membuktikan keupayaan serta kecemerlangan bakat yang dilahirkan UPSI.
“Ini adalah satu pengiktirafan besar kepada UPSI apabila bakat yang kami miliki diberi kepercayaan untuk memimpin sebuah institusi pendidikan tinggi yang penting,” katanya.
Mohamad Rozaimi berkata syarahan bertajuk “Ilmu Hadis dan Realiti Pascamodenisme: Menyuluh Kebenaran di Celah Kebanjiran Maklumat” bermaksud ilmu hadis sebagai warisan keilmuan Islam yang sangat bernilai dalam memastikan kesahihan setiap riwayat disandarkan kepada Rasulullah SAW.
Beliau berkata era pascamodenisme membawa cabaran baharu kepada masyarakat apabila muncul kecenderungan menolak naratif besar, menganggap kebenaran sebagai sesuatu yang relatif serta menerima pelbagai pandangan tanpa penilaian berasaskan ilmu.
“Dalam dunia yang dipenuhi ledakan maklumat melalui internet dan teknologi kecerdasan buatan (AI), masyarakat berdepan kesukaran untuk membezakan antara maklumat sahih dan palsu.
“Justeru, pemahaman terhadap ilmu hadis dan metodologi penilaian riwayat menjadi semakin penting,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial