KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- guardian Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai peruncit sektor kesihatan dan kecantikan selepas dinobatkan sebagai Peruncit Kesihatan & Kecantikan Terbaik - Malaysia di Retail Asia Awards 2026 di Singapura, untuk kali kedua selepas kejayaan sulung tahun lepas.
Jenama kelahiran Malaysia itu juga menerima tiga lagi anugerah utama iaitu Inisiatif Digital Terbaik - Malaysia, Program Kesetiaan Terbaik - Malaysia dan Transformasi Jenama Terbaik - Malaysia.
Pengarah Urusan guardian Malaysia dan Brunei Priscilla Wu berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memenuhi keperluan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Bermula sebagai sebuah kedai kesihatan dan kecantikan seluas 200 kaki persegi di Kuala Lumpur 59 tahun lepas, kami bersyukur dan berbangga kerana dipilih sebagai peruncit kesihatan dan kecantikan terbaik untuk dua tahun berturut-turut.
“Kami akan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam memenuhi keperluan kesejahteraan rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anugerah Inisiatif Digital Terbaik - Malaysia diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen guardian Malaysia dalam menyediakan hab maklumat dan pendidikan digital yang memudahkan pelanggan melalui pelbagai pilihan produk, tuntutan manfaat dan keberkesanan, istilah ramuan yang kompleks serta pelbagai nasihat yang mengelirukan dalam memilih produk kesihatan dan kecantikan terbaik untuk mereka.
Priscilla berkata Health Hub, Hairducation Hub dan Derma Lab ialah sebahagian daripada transformasi digital guardian Malaysia yang mengutamakan pelanggan dan menawarkan kandungan yang disesuaikan, interaksi dalam talian ke luar talian serta panduan video daripada pakar agar pelanggan sentiasa mendapat maklumat yang relevan dan dipercayai.
Sementara itu, MYguardian Rewards yang kini mempunyai lebih enam juta ahli berdaftar, memenangi anugerah Program Kesetiaan Terbaik - Malaysia manakala Anugerah Transformasi Jenama Terbaik -Malaysia diberikan sebagai pengiktirafan atas jaminan kualiti dan sokongan pengguna terhadap produk jenama sendiri peruncit itu.
Dalam perkembangan lain, Priscilla berkata guardian Malaysia juga dinamakan sebagai Jenama Terbaik Peruncit Kesihatan & Kecantikan Malaysia bagi 2025 dan 2026 oleh InfluentialBrands yang berpusat di Singapura pada bulan lepas.
“Kami berbesar hati kerana dipilih oleh pelanggan di seluruh negara sebagai Jenama Terbaik Peruncit Kesihatan & Kecantikan di Malaysia. Kepercayaan dan sokongan rakyat Malaysia amat kami hargai. Terima kasih kerana mengundi kami sebagai jenama nombor satu Malaysia!.
“Dengan kejayaan merangkul gelaran Peruncit Kesihatan & Kecantikan No. 1 daripada Retail Asia Awards dan InfluentialBrands serta pengiktirafan terhadap transformasi digital, kecemerlangan program kesetiaan dan transformasi jenama, kami bertekad untuk terus menjadi Penasihat Kesejahteraan Yang Dipercayai kepada 34 juta rakyat Malaysia hari ini dan generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial