Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tuntutan Ganti Rugi Pembatalan Kontrak NSM, Kerajaan Ambil Semua Langkah Perlu

25/06/2026 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan mengambil semua langkah perlu bagi menyelesaikan isu tuntutan ganti rugi susulan pembatalan kontrak pembelian sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) keluaran syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar turut telah menyerahkan notis kepada Kerajaan Norway bagi memaklumkan pendirian serta tindakan lanjut Malaysia.

Langkah itu, kata beliau bagi memastikan negara berkenaan bertindak sebagai pengantara dalam sebarang rundingan atau tindakan yang bakal diambil.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita memang bersedia untuk menyelesaikan perkara ini dan sebab itulah sejak awal lagi, kita sudah menghantar notis dan sebagainya.

“Saya percaya Kementerian Luar telah hantar surat kepada Kerajaan Norway untuk menyatakan sekurang-kurangnya Kerajaan Norway mainkan peranan facilitate (memudahkan), mediate (pengantara) antara Kementerian Pertahanan dengan syarikat berkenaan, supaya syarikat itu boleh bayar tuntutan ganti rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan pihaknya telah menerima taklimat khas daripada Kementerian Pertahanan berhubung isu berkenaan.

Sehubungan dengan itu, PAC menegaskan supaya kerajaan memperkukuh segala langkah mitigasi dan diplomasi bagi menjamin penyelesaian yang adil, serta memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan