KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Venezuela susulan dua gempa bumi kuat yang melanda bahagian utara negara berkenaan, baru-baru ini.
Menyifatkan bencana itu antara gegaran yang paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad, Anwar berkata jumla angka korban tragedi itu masih belum diketahui.
"Ingatan saya bersama-sama setiap keluarga yang sedang berduka dan mereka yang masih menunggu berita tentang orang tersayang yang terperangkap di bawah runtuhan," kata beliau dalam hantaran Facebook, hari ini.
Anwar berkata Malaysia yakin dengan keberanian dan daya tahan anggota penyelamat Venezuela yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa dengan segera.
"Kami percaya bahawa sokongan yang kini digerakkan daripada seluruh komuniti antarabangsa akan membawa sedikit kelegaan kepada mereka yang amat memerlukannya," kata beliau.
Venezuela dilanda dua gempa bumi kuat, iaitu 7.2 dan 7.5 magnitud pada Rabu.
Sekurang-kurangnya 32 orang maut dan lebih 700 lagi cedera, dan menurut Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez angka mangsa dijangka meningkat.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, operasi menyelamat sedang dilakukan di utara Venezuela, dengan pasukan kecemasan berusaha mencari mangsa yang terselamat di bawah serpihan dan runtuhan struktur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial